Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    Penduduk HK ikuti kursus kemahiran sebelum berhijrah

    HONG KONG – Di dalam bangunan perindustrian Hong Kong, Eric Pun adalah antara dua dozen orang yang bersesak-sesak dalam kelas mempelajari cara-cara menggerudi lubang – memperoleh set kemahiran baharu sebelum berhijrah ke luar negara.

    Perniagaan moden kini mula menawarkan kursus kilat dalam subjek seperti membaiki rumah dan mendandan rambut, mengambil peluang ke atas aliran orang muda yang meninggalkan Hong Kong ketika China bertindak ketat terhadap peraturan pandemik sehingga menjejas ekonomi wilayah itu.

    Bagi Pun, seorang jururawat berusia 35 tahun yang berhijrah ke Australia bersama keluarganya, mengikuti kelas membaiki rumah merupakan langkah menjimatkan duit yang praktikal dan juga satu cara untuk bersiap sedia dari segi mental untuk menghadapi sesuatu situasi yang tidak diketahui.

    “Di Hong Kong, jika timbulnya sesuatu masalah, awda boleh mengunjungi pejabat pengurusan harta atau mengupah seseorang dari gedung membeli-belah…tetapi apabila keluarga saya tinggal di rumah, saya perlu bergantung pada diri saya sendiri,” beritahunya kepada AFP.

    Menghabiskan masa seharian di Renobro, salah sebuah syarikat yang menawarkan kursus membaiki rumah, menelan kos HK$1,980 dan kursus sudah pun penuh ditempah lebih awal, menurut pengasas dan pengajar syarikat Lau Chun-yu.

    Lau Chun-yu (tengah kiri) mengajar kemahiran memakal kepada pelajar yang mengikuti kelas di Hong Kong. – AFP
    Pelajar mempelajari kemahiran memasang wayar semula ketika menghadiri kelas di Hong Kong. – AFP

    “Lebih daripada 1,000 orang telah mengambil bahagian dalam kursus kami,” kata Lau. “Apabila kami memulakan kursus ini, kami tidak menjangka begitu ramai orang akan berhijrah.”

    Lau berkata pelajarnya, yang kebanyakannya berusia dalam umur 30an termasuk doktor dan guru, akan menghabiskan sukatan pelajaran sehari yang terdiri daripada lebih 40 kemahiran, seperti memakal, melepa dan memasang dawai semula perlengkapan rumah.

    “Kebanyakan mereka tidak mempunyai persediaan, namun mereka berharap dapat menamatkan kursus secepat mungkin,” katanya, memetik kebimbangan negara asing mungkin memperketat kawalan imigresen dalam jangka panjang.

    Peraturan sifar COVID yang ketat juga dikuatkuasakan dua setengah tahun selepas pandemik, justeru mengehadkan kehidupan harian serta memencilkan bandar itu daripada dunia luar.

    Angka bancian terbaharu menunjukkan kemerosotan rekod dalam populasi Hong Kong, yang menurun 1.6 peratus kepada 7.29 juta berbanding setahun sebelumnya. Tenaga kerja juga merosot kepada 3.75 juta, jumlah paling rendah dalam hampir satu dekad.

    Kebanyakan mereka yang meninggalkan negara adalah keluarga yang mempunyai anak-anak yang sudah bersekolah.

    Angka sekolah rendah rasmi yang disiarkan pada awal bulan ini menunjukkan terdapat kurang 70 kelas di seluruh 60 sekolah pada tahun akademik ini. Lebih daripada 4,000 guru telah meninggalkan jawatan mereka dalam tempoh persekolahan lalu. United Kingdom menjadi salah satu destinasi paling popular untuk penduduk Hong Kong selepas ia mengumumkan skim visa yang menyediakan laluan untuk mendapatkan kerakyatan.

    Setakat ini, lebih daripada 140,000 orang telah memohon skim British sejak ia dilancarkan pada Januari 2021.

    Ini mencerminkan gelombang penghijrahan sama yang berlaku sebelum penyerahan Hong Kong dari Britain pada 1997.

    Meskipun sikap optimistik mereka untuk menjalani kehidupan di luar negara, ramai penghijrah memberitahu AFP mereka bimbang mengenai prospek pekerjaan dan mahu mempelajari lebih banyak kemahiran sebagai jaminan apabila tiba di sana.

    Peruncit fesyen Kimi Chau, 30, mengikuti beberapa siri kelas mendandan rambut sebagai persediaan untuk perpindahannya ke Britain bersama suami dan anaknya yang berusia lima tahun.

    “Saya mahu dilengkapi dengan kemahiran kerja selepas saya tiba…Jika saya dapat mempelajari lebih banyak kemahiran sebelum saya meninggalkan negara, maka jika peluang datang untuk saya membuka perniagaan di sana, saya akan berasa lebih yakin,” beritahunya kepada AFP.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...