REYKJAVIK, 19 NOV — Penduduk di barat daya Iceland tetap berhati-hati kelmarin, menunggu untuk melihat sama ada sebuah gunung berapi di bawah Semenanjung Reykjanes akan meletus.
Pihak berkuasa perlindungan awam menyatakan walaupun ia tidak meletus, kemungkinan besar akan mengambil berbulan-bulan bagi penduduk yang dipindah untuk pulang ke rumah dengan selamat dari kawasan bahaya itu.
Penduduk di bandar nelayan Grindavik telah dipindah seminggu yang lalu apabila magma batuan separa cair bergerak dan menggelegak di bawah bumi di tengah ribuan gegaran. Ia meninggalkan retakan merentasi ke kawasan penduduk tersebut, menolak tanah ke atas sejauh satu meter (3 kaki) atau lebih di beberapa buah tempat.
Pejabat Meteorologi Iceland menyatakan terdapat “kemungkinan yang signifikan” bahawa letusan akan berlaku di mana-mana di terowong magma sepanjang 15 kilometer (9 batu) itu, dengan “lokasi utama” di kawasan utara Grindavik berhampiran gunung Hagafell.
Grindavik, sebuah bandar yang mempunyai penduduk 3,400, terletak di Semenanjung Reykjanes, kira-kira 50 kilometer di barat daya ibu negara, Reykjavik, dan tidak jauh dari Lapangan Terbang Keflavik, fasiliti utama Iceland untuk penerbangan antarabangsa.
Resort geotermal Blue Lagoon berdekatan, salah satu tarikan pelancongan utama Iceland, telah ditutup sekurang-kurangnya sehingga akhir November kerana bahaya gunung berapi.
Penduduk Grindavik dibenarkan untuk kembali selama lima minit setiap kali untuk menyelamatkan harta berharga dan haiwan kesayangan. – AP
