Wednesday, April 24, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Penduduk Istanbul berdepan kenaikan kos sara hidup

    ISTANBUL – Di Istanbul, hab kewangan Turki dan bandar terbesar, pelbagai peluang pekerjaan yang membawa kepada kehidupan yang agak baik pernah menjadi kebanggaan penduduk tempatan.

    Walau bagaimanapun, kini dengan kos hidup yang melambung tinggi di bandar dengan kira-kira 16 juta penduduk, perubahan adalah sesuatu yang sukar.

    Agensi Perancangan Istanbul baru-baru ini mendedahkan dalam laporan terbaharunya bahawa kos sara hidup melonjak sebanyak 66 peratus tahun ke tahun pada Februari di Istanbul, meletakkan bandar itu sebagai yang paling mahal di seluruh Turki.

    Menurut laporan itu, empat isi rumah di Istanbul perlu memperoleh lebih daripada 15,300 lira Turki (AS$1,074) secara purata setiap bulan untuk memenuhi keperluan penting, termasuk perbelanjaan makanan, minyak dan sewa.

    Kos sara hidup meningkat sebanyak 850 lira hanya dalam sebulan, memberikan tekanan kepada penduduk Istanbul untuk menangani kos yang semakin meningkat itu, kata laporan itu.

    Seorang pelanggan melihat sayur-sayuran di pasar di Istanbul. – Xinhua

    “Sukar untuk mencari rezeki dengan keadaan Istanbul, terutamanya bagi mereka yang tinggal di rumah sewa dengan gaji minimum,” Aydin, seorang penjual di bazar kejiranan di kawasan Ferikoy Istanbul di sebelah Eropah, memberitahu Xinhua.

    Bazar yang diadakan dua kali seminggu itu ‘kini lengang tanpa peniaga’ kerana kebanyakan peniaga memilih untuk tidak membuka gerai mereka berikutan pendapatan mereka tidak dapat menampung perbelanjaan mereka lagi, jelasnya.

    “Tengok keadaan bazar, kosong. Orang ramai tiada kuasa beli,” kata Cemal Guder, seorang lagi penjual.

    “Saya membeli sekilo timun pada harga 12 lira dan menjual pada harga 15 lira. Hari ini kita boleh membelinya pada harga 17 lira dan menjual pada harga 20 lira,” tambahnya.

    Kerajaan Turki baru-baru ini menaikkan gaji minimum bulanan sebanyak 50 peratus kepada 4,250 lira untuk meringankan beban kewangan pekerja, manakala pencen pesara juga menyaksikan kenaikan 30.5 peratus. Bagaimanapun, kenaikan itu tidak sepadan dengan inflasi yang sukar dikekang, mencecah 54.4 peratus pada Februari, tertinggi sejak 2002.

    “Pencen saya sudah lama habis,” Ciler Savkun, seorang penduduk Istanbul berusia 75 tahun, memberitahu Xinhua, sambil menyatakan bil membeli-belahnya semakin mahal setiap minggu.

    Savkun dan suaminya telah bergelut untuk menyara lima ahli keluarganya, termasuk cucu mereka, dengan dua pencen mereka hampir 9,500 lira.

    “Perbelanjaan bulanan kami semakin meningkat. Saya tidak lagi pergi ke kedai runcit, di mana harganya lebih tinggi daripada apa-apa sahaja, seperti keju dan pelbagai jenis makanan sarapan pagi. Semuanya sangat mahal,” katanya.

    Pada Februari lalu, Turki mengumumkan langkah ekonomi baharu untuk meringankan beban rakyat Turki bagi bebanan kos sara hidup di tengah-tengah inflasi yang tinggi.

    Di bawah langkah baharu itu, cukai nilai tambah lapan peratus ke atas produk makanan asas, yang mempunyai pemantaun ketara dalam inflasi harga, dikurangkan kepada satu peratus. Kerajaan juga berjanji untuk menyediakan sokongan kredit untuk perniagaan dan pengeksport serta melancarkan aplikasi mudah alih bagi membolehkan rakyat mengakses produk mampu milik. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua gempa berukuran 6 dan 6.3 magnitud landa timur Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Dua gempa bumi berukuran 6 dan 6.3 magnitud melanda tengah Daerah Hualien di timur Taiwan masing-masing pada 2:26 pagi dan 2:32 pagi ini,...