Penduduk Itali bantah syarat Pas Hijau di tempat kerja

ROM, 15 OKT – Pembantahan berlaku di Itali ketika salah sebuah negara yang mengenakan sekatan anti-COVID-19 paling ketat di Eropah, mula mewajibkan semua pekerja, dari majistret hingga pembantu rumah, untuk menunjukkan kad kesihatan sebelum masuk ke tempat kerja mereka.

Polis telah dikerahkan, sekolah-sekolah menamatkan kelas lebih awal dan kedutaan mengeluarkan amaran kemungkinan berlaku keganasan di tengah-tengah kebimbangan bahawa demonstrasi antivaksinasi boleh bertukar ganas, seperti yang berlaku di Rom hujung minggu lalu.

‘Pas hijau’ menunjukkan bukti vaksinasi, ujian negatif yang terbaharu atau telah pulih dari COVID-19 dalam enam bulan terakhir. Itali sudah mewajibkan bukti tersebut untuk mengakses segala jenis persekitaran dalaman termasuk restoran, muzium, teater dan kereta api jarak jauh.

Tetapi penambahan dimestikan di tempat kerja itu telah mencetuskan perdebatan dan bantahan di negara yang merupakan pusat COVID-19 pada awal pandemik dan di mana kadar vaksinasi adalah antara yang tertinggi di Eropah.

Peraturan baharu di sebuah negara yang melaksanakan perintah berkurung COVID-19 pertama dan penutupan kilang telah membebankan pekerja dan majikan, dengan ancaman denda dan pematuhan. Pengimbas elektronik yang dapat mengimbas kod QR di telefon bimbit dengan Pas Hijau dipasang di tempat kerja yang lebih besar seperti pejabat Perdana Menteri Itali, Mario Draghi dan ibu pejabat syarikat kereta api negara, Trenitalia.

Namun di tempat kerja yang lebih kecil, dari restoran hingga kelab tenis, majikan dan pengurus terpaksa memuat turun aplikasi yang dapat mengimbas kod QR tersebut. Walaupun tidak jelas mengenai keketatan syarat itu, kekhuatiran terhadap pemeriksaan mendorong majikan untuk mematuhi syarat tersebut. – AP

Seorang pekerja mengimbas Pas Hijaunya agar dapat memasuki tempat kerja mereka, di Roma pada hari ini. – AP