Penduduk Korea Selatan gesa bantuan khas

SEOUL, 10 MAC – Penularan wabak COVID-19 di Korea Selatan mencetuskan perdebatan sama ada perlu menyediakan pendapatan asas kepada rakyat untuk membantu mereka berdepan cabaran disebabkan ekonomi yang merudum, lapor agensi berita Yonhap.

Pendapatan asas bermaksud pendapatan yang diagihkan sama rata kepada semua individu tanpa mengira kedudukan kewangan dan jenis pekerjaan.

Isu itu hangat diperkatakan apabila terdapat segelintir pihak menggesa kerajaan memberi bantuan khas kepada rakyat untuk meminimumkan kesan negatif terhadap wabak COVID-19.

Pegawai di syarikat SoCar, Lee Jae-woong, mencadangkan pendapatan asas bernilai 500,000 won (AS$417.05) setiap seorang.

“(Kita) memerlukan dasar yang menyokong pendapatan lebih banyak disediakan terutama kepada mereka yang berpendapatan sederhana dan golongan bawahan,” kata Lee.

Korea Selatan sedang mengambil semua langkah yang perlu untuk membendung penyebaran virus COVID-19, negara ini mencatatkan 7,513 kes. Lebih 90 peratus kes dilaporkan di bandar selatan Daegu dan wilayah Gyeongsang Utara. Dalam usaha menangani wabak itu dan untuk menggerakkan ekonomi, pada minggu lalu kerajaan mencadangkan belanjawan 11.7 trilion-won. Dewan Negara masih mengkaji syor itu.

Baru-baru ini Bank of Korea mengurangkan prospek pertumbuhan 2020 kepada 2.1 peratus berbanding 2.3 peratus. – Bernama