Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 1 Mei – Menjelang kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi, lebih 300 orang penduduk Kampung Kupang telah melakukan kerja gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam (LUDIN) dan Tanah Perkuburan Islam Bukit Tuba, Kampung Kupang, baru-baru ini.
Kempen yang dihadiri oleh Ketua Kampung Kupang, Haji Puasa bin Haji Kula itu turut dibantu oleh anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Pasukan Polis Diraja Brunei Cawangan Tutong.
Adapun kegiatan penuh berkebajikan itu merupakan salah satu projek tahunan yang dikelolakan oleh ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kupang dan ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kupang yang bertujuan untuk menanamkan sifat pemedulian dan bantu-membantu sesama penduduk kampung di samping mendidik diri dan jiwa agar sentiasa melaksanakan kegiatan amal dengan penuh keikhlasan.