Penduduk Kyrgyzstan mengundi Ahad ini

BISHKEK, KYRGYZSTAN, 1 OKT – Penduduk Kyrgyzstan akan membuang undi untuk memilih parlimen baharu pada Ahad dengan pengundi dan parti lebih kecil bimbang pembelian undi akan menjejas pilihan raya di negara bekas Soviet Asia Tengah itu.

Dengan pandemik koronavirus menjejas pendapatan penduduk, ramai mengingatkan bahawa suasana bakal dibelenggu penipuan besar-besaran oleh parti yang mempunyai sumber kewangan.

Rita Karasartova, calon untuk parti Reforma, yang telah berjanji akan mendesak pembaharuan dalam struktur kerajaan korup jika ia memenangi parlimen, memberitahu AFP beliau ‘mahu mempercayai’ bahawa pilihan raya akan menjadi pertarungan idea dan bukannya wang tunai.

“Namun selepas koronavirus, situasi ekonomi kami adalah amat sukar,” katanya. “Parti prokerajaan adalah amat kaya dan saya fikir mereka boleh membeli undi di kampung.”

Daripada enam belas parti yang bertanding, dua hampir pasti memenangi kerusi dalam badan perundangan yang terdiri daripada 120 anggota.

Undang-undang pilihan raya menetapkan tidak ada satu parti yang boleh menduduki 65 kerusi dalam badan perundangan yang mempunyai 120 anggota.

Presiden dihadkan kepada penggal enam tahun, berbeza dengan trend pemimpin yang dilihat di negara jiran China, Kazakhstan, Tajikistan dan Uzbekistan. – AFP

Seorang wanita menjual buah di tepi jalan di depan papan iklan kempen untuk parti Bir Bol di kampong Koy-Tash, Bishkek pada 30 September. – AFP