Penduduk lari daripada keganasan Boko Haram

KANO, Nigeria, 17 Dis – Ratusan penduduk lewat semalam melarikan diri selepas kumpulan Boko Haram membakar rumah mereka berdekatan bandar Maiduguri, timur laut Nigeria, kata para penduduk kepada AFP.

Beberapa buah trak yang membawa pejuang Boko Haram telah menyerang kampung Maiborti, kira-kira lima kilometer dari Maiduguri, melancarkan serangan tembakan rambang dan membakar rumah-rumah yang ada, kata mereka yang menjadi mangsa.

Seorang pegawai tentera yang tidak mahu dikenal pasti berkata askar dan jet pejuang telah dikerahkan ke kampung berkenaan dan berusaha menghalau anggota militan selepas ‘pertempuran ganas’.

Namun, tidak jelas sekiranya berlaku kematian dalam serangan itu yang sekali lagi menekankan situasi keselamatan yang rapuh di rantau kacau-bilau itu.

“Mereka (Boko Haram) muncul kira-kira 5:30 petang waktu setempat dan mula melepaskan tembakan di dalam kampung, memaksa kami meninggalkan rumah dan melarikan diri ke Maiduguri,” kata penduduk Maiborti, Abacha Kaka kepada AFP.

Pemimpin militia, Babakura Kolo berkata para pejuang berkenaan kemudiannya dihalau keluar dari kampung oleh tentera dengan bantuan udara.

“Malangnya, pengganas berjaya membakar kampung itu dan memusnahkannya sama sekali,” tambahnya.

Dalam beberapa bulan kebelakangan, Boko Haram telah melancarkan serangan ke atas Maiduguri dalam usaha untuk menawannya, yang menjadi tempat kelahiran pengasas-nya, Mohammed Yusuf.

Bulan lalu, Boko Haram telah menyerang kampung Jimmi berdekatan bandar, membunuh seorang dan mencuri beratus-ratus ekor binatang ternakan.

Pada April, para pejuang Boko Haram turut melancarkan serangan nekad dan tembakan ke atas Jiddari-Polo, pinggir bandar.

Kumpulan tersebut turut menyerang kira-kira 20 buah pangkalan ketenteraan dalam tempoh beberapa minggu, membunuh berpuluh-puluh orang dan membawa lari senjata. – AFP