Penduduk lengkap dua dos cecah 63.3%

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Negara Brunei Darussalam sudah mencatatkan sekitar 82.3 peratus atau seramai 353,961 orang telah menerima satu dos vaksin COVID-19 setelah 6,402 lagi menerima suntikan vaksin COVID-19, kelmarin (3 November).

“Manakala, 272,318 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 63.3 peratus daripada jumlah penduduk negara di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan,” ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media hari ini.

Dengan kenaikan kadar dos lengkap tersebut, kini Brunei hanya memerlukan 6.7 peratus sahaja lagi daripada jumlah penduduk untuk mencapai 70 peratus sebelum beralih ke fasa peralihan.

Kini jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan dos kedua di negara ini adalah sebanyak 626,279, sejak ia mula diberikan pada 3 April lalu.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 400,074 dos, diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 83,081.

Manakala Daerah Tutong mencatatkan sebanyak 72,383 dos dan Daerah Temburong sebanyak 70,741.