Penduduk mahu isu gajah liar diselesaikan

KALABAKAN, 2 JUN – Lebih 200 penduduk di Kampung Jagung, Merotai di sini meminta Jabatan Hidupan Liar (JHL) mengambil tindakan segera menyelesaikan isu gajah liar yang sering masuk ke kampung dan kawasan ladang kelapa sawit mereka.

Rata-rata penduduk kampung berkenaan menyuarakan kebimbangan sekiranya berlaku kejadian buruk jika perkara itu tidak diatasi.

Seorang penduduk Baharun Indarsaya, 68, berkata, beliau risau jika penduduk hilang sabar apabila tanaman mereka dirosakkan gajah liar tersebut lalu mengambil tindakan sendiri dengan membunuh gajah.

“Kami khuatir kejadian yang berlaku di Sungai Udin, Dumpas iaitu gajah mati ditembak akan berlaku lagi, sebab itu kami harap tindakan segera dapat diambil untuk halau gajah ini,”katanya ketika ditemui di Kampung Jagung, hari ini.

Katanya, penduduk kampung sering melihat tiga ekor gajah berlegar-legar di kawasan itu selain memakan tanaman di kebun penduduk.

“Walaupun belum ada kes gajah tersebut merosakkan kediaman penduduk kampung namun, sebagai langkah berjaga-jaga, lebih baik gajah tersebut dipindahkan dengan kadar segera,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, penduduk kampung turut mengambil inisiatif sendiri  untuk menghalau haiwan mamalia itu dengan membuat bunyi bising dengan meletupkan sesuatu agar gajah berkenaan tidak memasuki kampung.

“Sejak kemunculan gajah itu, saya menasihatkan anak-anak supaya jangan bermain di kawasan ladang dan tidak bertindak mendekati mahupun melakukan sesuatu yang membuatkan gajah tersebut bertindak agresif,” katanya yang menetap di kampung itu sejak tahun 1958. Sementara itu, Pegawai JHL Tawau, Sailun Aris ketika dihubungi berkata pihaknya akan segera melaksanakan tindakan sewajarnya, kerana ketika ini pihaknya turut sama menjalankan kerja-kerja mengawal dan memindahkan gajah yang memasuki kawasan di Felda Umas.

“Beberapa hari lalu, kami juga menerima aduan berhubung kehadiran gajah itu dan pihak kami sudah mengawal serta mengusir gajah tersebut, kemungkinan gajah berkenaan datang semula ke kampung itu,” katanya. – Bernama