SELEPAS satu kejadian gempa bumi melanda Juchitan di selatan Mexico pada bulan September, tahun lepas, Jorge Jimenez dan kumpulan tariannya telah ikut serta dalam melakukan persembahan tarian.
Gempa bumi dengan kekuatan 8.2 magnitud dan paling kuat pernah dicatatkan di negara itu telah membunuh sekurang-kurangnya 96 penduduk di kawasan berkenaan.
Kebanyakan keluarga telah tertimbus dan bangunan dewan bandar terpecah dua. Lereng-lereng kedai runtuh dan penduduk mengalami kesukaran berikutan tenaga elektrik dan bekalan air terputus.
“Kami berusaha untuk membantu mencari mangsa yang terselamat dan mengedarkan makanan,” kata Jimenez, pengarah Juchitan de Zaragoza, sebuah kumpulan tarian tradisional.
“Selepas beberapa ketika, kami memutuskan untuk membuat persembahan tarian bagi memperalihkan perasaan terkejut dan sedih para penduduk akibat kejadian itu,” tambahnya.

Kebanyakan perayaan yang dirancang di dalam komuniti itu telah dibatalkan selepas kejadian gempa bumi itu.
“Kami masih berduka,” kata Jimenez yang berusia 33 tahun. Walau bagaimanapun, semua penari memutuskan untuk ikut serta dalam perayaan Guelaguetza, festival tradisional terbesar Mexico.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan Mexico di atas sokongan yang telah diberikan dan menyatakan kepada dunia bahawa Juchitan tetap hidup dan akan hidup lebih lama, Juchitan,” tambah Jimenez.
Budaya yang mendalam
Perkumpulan terbesar, Guelaguetza, bermaksud menawarkan dalam bahasa Zapotec asli, diadakan selepas kejadian gempa bumi yang telah menghancurkan Oaxaca pada tahun 1931.
Berikutan dengan kejadian itu, penduduk tempatan memutuskan untuk membuat perayaan yang menyatukan lebih banyak budaya tempatan dan sama-sama berdoa kepada tuhan mereka untuk mengharap lebih luas perpaduan,” kata Alfonso Martinez, perwakilan negeri Oaxaca.
Lebih daripada sekadar perayaan, Guelaguetza telah menjadi satu perayaan yang mesti diraikan dalam kalendar sosial sejak 86 tahun dan mempamerkan pelbagai kekayaan budaya disebut tradisi budaya yang mendalam di negara ini.
Setiap tahun, 30 rombongan telah memperlihatkan corak tarian dari tradisi budaya mereka yang unik di depan 12,000 penonton, menari dengan mengenakan pakaian berwarna-warni dan disertakan dengan pelbagai aksesori yang unik dan menarik.
Acara yang disiarkan di siaran televisyen tempatan itu, telah mencapai kejayaan yang besar, menarik lebih daripada 110,000 pelawat ke Oaxaca untuk menyaksikan perayaan tersebut.
Namun bagi salah sebuah bandar miskin di Mexico itu, manfaat ekonomi daripada perayaan itu adalah penting di mana dianggarkan lebih dari AS$16 juta mampu diraih, menurut pihak berkuasa tempatan.
Perayaan itu juga merupakan salah satu cara bagi menghubungkan banyak komuniti, yang kadang kala berasal dari kawasan terpencil di kawasan pergunungan negara itu di mana isu konflik kadang kala membawa kepada isu keganasan. Pada 16 Julai tahun lepas, 13 penduduk terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan petani di selatan negara itu.


Budaya tradisional masih lagi hidup
Ikut serta dalam perayaan itu merupakan satu penghormatan bagi banyak komuniti di wilayah tersebut yang mempunyai sekitar empat juta penduduk.
Jawatankuasa pemilihan terdiri daripada 10 bekas penari di mana rata-rata berumur sekitar 75 tahun.
“Kami mengembara sejauh 29,000 kilometer pada tahun lepas,” kata Margarita, ketua jawatankuasa pemilihan berusia 82 tahun, yang juga dikenali sebagai jawatankuasa kesahihan.
Ahli jawatankuasa mengembara di kampung-kampung terpencil dan memilih rombongan yang terbaik.
“Kami menilai kualiti tarian, pakaian, gaya rambut dan jalinan mesra antara pasangan,” katanya.
Persaingan adalah sangat tinggi, jika komuniti tertentu tidak terpilih, anggotanya kadangkala melakukan protes atau mengeluh kepada media. “Mengambil bahagian dalam perayaan ini merupakan satu kebanggaan buat kami,” kata Nivardo, ketua pengarah rombongan yang lain.
“Daerah Oaxaca merupakan kediaman bagi masyarakat peribumi yang paling banyak di mana sebanyak 16 bahasa telah disenaraikan,” kata Martinez.
Perayaan ini mempamerkan baju-baju tradisional dan tidak ada yang direka semula malah tidak ada jenis tarian yang diilhamkan oleh Beyonce. Di sini, setiap pakaian menceritakan kisah yang tersendiri.
Setiap corak pada pakaian melambangkan pergunungan dan perkampungan sementara setiap sulaman mencerminkan sungai yang melintasi dusun bahkan juga neraka, kata Nivardo.
Dari usia kanak-kanak lagi, mereka terus dididik dengan ilmu dan corak kehidupan tradisi serta budaya tempatan mereka.
Sesetengah golongan belia lebih suka mendengar lagu-lagu hip-hop, tetapi mereka tidak pernah terlepas untuk mempelajari akar budaya mereka, kata Graciela, seorang penari dari Santa Maria Tlahuitoltepec.
“Kami mempelajari muzik sebelum kami tahu bagaimana untuk menulis,” katanya. “Irama muzik yang menerangkan siapa kami,” tambahnya. – AFP