Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Penduduk minta pihak berwajib ambil tindakan

    TUARAN, 12 MEI – Penduduk Kampung Rugarding meminta pihak berwajib agar menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang disyaki membuang bahan kimia ke dalam Sungai Lingkibing yang didakwa mereka melakukan perkara tersebut berulang kali sejak lima tahun lalu.

    Penduduk kampung, Matnih Teu, 57, berkata masalah pembuangan bahan kimia itu semakin kerap berlaku sejak beberapa bulan yang lalu dan paling menyeksakan ialah apabila air sungai yang tercemar itu akan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.

    Lebih memeritkan apabila bau bahan kimia itu boleh dihidu dari kediamannya yang terletak hanya 50 meter dari tebing sungai seluas kira-kira enam meter kerana sungai berkenaan termasuk dalam kawasan tanah miliknya.

    Beliau turut berkata selain mengeluarkan bau, air sungai itu juga akan bertukar warna kehitaman dan bercampur minyak sehingga ikan-ikan di dalam sungai itu mati dan terapung di permukaan air.

    “Pembuangan bahan tersebut bukan berlaku hari-hari, ada masa tertentu dan pihak Jabatan Alam Sekitar sudah maklum dan datang mengambil sampel air tetapi selepas itu tiada apa-apa tindakan dan berlaku lagi pembuangan bahan kimia,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Rugarding.

    Bercerita lanjut, Matnih berkata pembuangan bahan kimia itu dipercayai berpunca dari kilang-kilang yang beroperasi termasuk pembinaan kawasan perumahan berdekatan dengan kampung berkenaan.

    Kebimbangan sama turut dikongsikan oleh Sidup Latip, 60, kerana kesan pencemaran itu bukan hanya menjejaskan ekosistem su-ngai tetapi juga kesihatan penduduk kampung apabila ada antara mereka merasa tekak kering, batuk, pening dan loya.

    Manakala, Rosviny Manap, 45, berkata pembuangan bahan kimia itu biasanya berlaku apabila hujan lebat dan mereka yang tidak bertanggungjawab menjadikan sungai itu sebagai laluan pembuangan sisa kimia kerana ia merentasi kampung berkenaan sebelum ke laut. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...