Penduduk miskin di india berdepan ancaman COVID-19

NEW DELHI, 12 APRIL – Kes koronavirus (COVID-19) di kawasan yang didiami oleh penduduk miskin di Dharavi, Mumbai, salah sebuah kawasan paling terjejas di Asia – telah meningkat kepada 43 kes termasuk empat kematian, kata para pegawai hari ini ketika mereka terus menjalankan ujian terhadap penduduk di sana bagi membendung wabak berkenaan daripada terus berleluasa.

Sejak kematian akibat virus itu dicatatkan pada awal April lalu, pihak berkuasa India telah meningkatkan langkah untuk menutup kawasan di mana kes-kes mula muncul di Dharavi, yang merupakan rumah kepada sekitar sejuta orang.

Kini 15 kes baharu dan satu kematian dilaporkan semalam, dengan menjadikan jumlah jangkitan kepada 43 di daerah yang terkenal dengan filem pemenang Oscar ‘Slumdog Millionaire’ 2008, kata jurucakap majlis perbandaran Mumbai Vijay Khabale-Patil hari ini.

Tempat ujian juga telah dibangunkan sejak beberapa hari kebelakangan ini untuk mengesan mana-mana pembawa virus yang tidak menunjukkan gejala penyakit itu, kata Khabale-Patil, sambil menambah bahawa hasil ujian itu menunjukkan lebih banyak lagi penduduk di sini diuji positif.

“Kami telah membina kem perubatan di Dharavi dan kawasan lain di Mumbai untuk menguji lebih ramai lagi individu yang berpotensi dijangkiti dan memastikan pembawa virus tidak diabaikan hanya kerana mereka tidak menunjukkan gejala,” katanya kepada AFP kelmarin.

Pegawai tempatan juga menutup semua kedai, kecuali farmasi, berhampiran dengan apa yang dipanggil sebagai ‘zon pembendungan’ di Dharavi dari hari Jumaat untuk mengehadkan bilangan orang di kawasan-kawasan awam.

India berada dalam keadaan terkawal sejak 25 Mac.

Beberapa negeri termasuk Maharashtra, di mana Mumbai terletak, berkata kelmarin bahawa langkah ketat – yang akan berakhir pada 15 April – akan dilanjutkan sehingga akhir bulan ini.

“Negara ini akan terus berjuang untuk membendung wabak ini meski berdepan dengan masa yang sukar,” kata ketua menteri Maharashtra, Uddhav Thackeray. – AFP

Gambar fail pada 6 April lalu menunjukkan beberapa penduduk tempatan berbaris dengan melakukan penjarakan ketika mengambil bantuan berupa makanan di Dharavi. – AFP