Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Penduduk mohon Projek Lebuh Raya Pan Borneo dipantau elak jadi punca banjir

    KOTA KINABALU, 10 OKT – Penduduk di negeri ini memohon pihak berwajib supaya memantau ketat projek pembinaan mega terutama Lebuh Raya Pan Borneo bagi memastikan projek terlibat tidak lagi menjadi punca bencana terutama banjir dalam keadaan cuaca tidak menentu pada masa ini.

    Penduduk yang berdepan dengan bencana banjir di sini dan Tuaran ketika ditemui Bernama hari ini memberitahu projek pembinaan infrastruktur terutama Lebuh Raya Pan Borneo amat penting, namun semua kontraktor terlibat perlu mematuhi peraturan serta spesifikasi kerja ditetapkan bagi mengelak bencana.

    Penduduk Kampung Ketiau, Putatan, Suit Mahali, 76, berkata kampung itu tidak pernah mengalami banjir namun situasi itu berubah apabila projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dimulakan di kawasan berhampiran sekitar dua hingga tiga tahun lepas.

    Pesara kerajaan itu berkata hasil pemerhatiannya sebagai orang asal di kampung itu, sistem perparitan dan saliran mula tersumbat selepas projek itu dilaksanakan sehingga air naik ke kawasan kampung selain perparitan tidak diselenggara dengan betul.

    “Kami amat mengalu-alukan Lebuh Raya Pan Borneo dan percaya projek ini akan memberi manfaat kepada rakyat tetapi kami harap pihak terlibat dapat membantu kami memastikan projek ini tidak menyebabkan banjir dengan memantau ketat dan selesaikan masalah banjir ini,” katanya.

    Dilaporkan setakat 5 September lepas, projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah mencapai tahap 65 peratus siap dan kerajaan menerusi Bajet 2023 menyasarkan untuk menyiapkan projek tersebut menjelang 2024.

    Hujan lebat berterusan petang semalam menyebabkan beberapa lokasi sekitar pantai barat Sabah terutama di daerah Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang dilanda banjir dengan 43 orang daripada 13 keluarga dipindahkan di Penampang setakat 8 pagi tadi. – Bernama

    Beberapa penduduk Kampung Ketiau meredah banjir ketika menunaikan solat di Masjdi Kampung Ketiau. Masjid tersebut antara yang terjejas susulan hujan lebat berterusan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu sejak petang kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...