Friday, October 11, 2024
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk Myanmar ditimpa penderitaan berganda

    LOIKAW, 17 SEPT – Penduduk kampung Myanmar yang keletihan akibat perang berusaha menyelamatkan tanaman dari ladang yang ditenggelami air banjir hari ini ketika angka kematian negara itu susulan Taufan Yagi meningkat dua kali ganda kepada 226 orang dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberikan amaran 630,000 orang mungkin memerlukan bantuan.

    Yagi melanda utara Vietnam, Laos, Thailand dan Myanmar lebih seminggu lalu dengan
    angin kencang dan hujan lebat, menyebabkan banjir dan tanah susur yang mengorbankan lebih 500 orang, menurut angka rasmi.

    TV kerajaan di Myanmar yang diperintah junta mengesahkan 226 kematian lewat kelmarin, dengan 77 orang masih hilang, menggandakan angka kematian sebelumnya iaitu 113 orang.

    Krisis ini hanya menambah kesengsaraan rakyat di Myanmar, di mana berjuta-juta orang telah menderita melalui lebih daripada tiga tahun perang sejak tentera merampas kuasa pada 2021.

    Di daerah Loikaw di timur negeri Kayah yang menyaksikan pertempuran sengit antara tentera junta dan kumpulan bersenjata menentang pemerintahannya, penduduk kampung merintih atas ujian terbaharu yang menimpa mereka.

    “Kami telah pun menghadapi peperangan dan melarikan diri dari kampung berkali-kali,” kata penduduk tempatan, Chit Thein kepada AFP.

    “Kami menghadapi banyak masalah dan kini banjir sekali lagi begitu banyak kesengsaraan dalam hidup kami.”

    Di sawah berhampiran, petani bertungkus-lumus menyelamatkan tanaman padi yang ditenggelami air sepenuhnya.

    Lebih 150,000 rumah telah ditenggelami air dan hampir 640,000 ekar sawah padi dan tanaman lain musnah, menurut media kerajaan Myanmar. – AFP

    Petani mengangkut beg beras di kawasan yang ditenggelami air banjir berhampiran perkampungan Phayarphyu di perbandaran Loikaw, Myanmar pada 16 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda