Penduduk Palestin dibunuh tentera Israel

BAITULMAQDIS, 6 APRIL – Seorang pemandu warga Palestin terbunuh dan isteri mangsa mengalami kecederaan akibat tembakan tentera Israel awal hari ini, menurut menteri kesihatan Palestin, dalam kejadian yang disifatkan oleh tentera Israel sebagai ‘cubaan serangan merempuh kereta’.

Lelaki tersebut meninggal dunia “selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala dalam kejadian di Bir Nabala manakala isteri mangsa mengalami kecederaan akibat peluru di bahagian belakang,” menurut kenyataan menteri.

Agensi berita rasmi Palestin, Wafa berkata kejadian tembakan berlaku pada waktu subuh ketika pasangan itu sedang membuat perjalanan menggunakan kereta mereka.

Tentera Israel berkata askarnya “menggagalkan cubaan serangan merempuh kereta ke atas sekumpulan anggota tentera yang beroperasi di pos pemeriksaan di selatan Ramallah.”

Mereka berkata pos pemeriksaan itu dibangunkan sementara, semasa ‘aktiviti operasi’ di Bir Nabala.

“Tentera di pos pemeriksaan menemukan sebuah kenderaan berhenti di tempat pemeriksaan dan secara tiba-tiba memecut ke arah sekumpulan anggota tentera yang lain di kawasan tersebut, mendatangkan ancaman kepada mereka.

“Tentera bertindak balas dengan melepaskan tembakan bagi mematahkan ancaman,” kata pihak tentera. Wafa mengenal pasti korban sebagai Osama Sidqi Mansur, 42, memetik sumber tempatan. – AFP

Penduduk Palestin mengusung mayat Osama semasa pengebumian. Semasa kejadian tersebut tentera Israel menganggap ia sebagai ‘cubaan serangan merempuh kereta’. – AP