Oleh Daniel Lim
BELAIT, 22 JAN – Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Perumahan Negara Lorong Tengah Seria, Mukim Seria telah diadakan hari ini di Dewan Pejabat Daerah, Seria, Daerah Belait.
Pengundian hari ini menggunakan kaedah kertas undi, manakala itu, pengundian menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK telah bermula pada 20 Januari lalu.
Hadir pada majlis itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Salleh bin Haji Othman selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat dan Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @Lim Swee Ann selaku Ketua Kampung Bukit Sawat; Ketua Bahagian Daerah di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Dayang Jaimah binti Tuah, penolong pegawai Daerah Belait, pemangku penghulu Mukim Seria, dan pemangku ketua-ketua kampung di Mukim Seria, Daerah Belait.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Daerah Belait, calon tunggal yang layak bagi jawatan berkenaan ialah Awang Muhammad Syaiful Faizal bin Angas, berusia 42 tahun dan pada masa ini bertugas sebagai guru agama terlatih dari Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Beliau berkelulusan Sijil Perguruan Ugama dari Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan.
Kesemua 61 orang pendu-duk kampung yang berdaftar dan layak mengundi telah mengundi bersetuju.
Keputusan pengundian yang diperolehi akan dibawa dan digunakan dalam menyediakan sokongan yang mana seterusnya dihadapkan kepada Lembaga Perjawatan, Disiplin, Tatatertib PMKK, KHEDN bagi proses yang selanjutnya.