Penduduk risau kes culik semakin meningkat

YAOUNDE, 14 Jan – Ahli politik, pegawai dan golongan profesional Cameroon menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan kes penculikan di kawasan pergunungan Adamawa negara itu.

“Adamawa menempuh detik yang paling buruk dalam sejarah. Kami amat bimbang. Kes culik dan bayaran tebusan kini semakin kerap berlaku di rantau itu.

“Kampung semakin lengang dan ekonomi menjunam,” kata Theophile Baoro, seorang wakil dari rantau Adamawa kepada pemberita sejurus berakhir mesyuarat mengenai krisis berkenaan di sini.

Agensi berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan berkata, kira-kira 150 kes culik berlaku di kawasan terbabit tahun lalu, dengan kira-kira 500 juta fcfa (kira-kira AS$900,000) dibayar untuk tebusan.

Disember tahun lalu, tiga mubaligh diculik dan dibunuh oleh penculik.

“Kami berharap penduduk akan bekerjasama dengan pasukan keselamatan bagi menamatkan mimpi ngeri ini,” kata Baoro.

“Penculik bersenjata berkeliaran mencari mangsa. Mereka memeras penduduk supaya memberikan wang. Mereka biasanya memasuki kampung dan kawasan lebuh raya,” kata penduduk yang enggan dikenali kepada Xinhua.

Perompak di lebuh raya sering berkeliaran di kawasan berbukit bukau dan tidak ramai penduduk tetapi mereka melarikan diri selepas pasukan komando batalion Cameroon, dikerah ke kawasan terbabit. – Bernama