Thursday, October 10, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk Sabah teruja nantikan sambutan Hari Malaysia

    KOTA KINABALU, 15 SEPT – Penduduk Sabah terutamanya di bandar raya ini teruja menantikan sambutan Hari Malaysia 2024 yang akan diadakan malam esok di Padang Merdeka di sini.

    Pemandu van sewa Abdul Rahman Sarii, 34, berkata sambutan Hari Malaysia memberikan peluang kepadanya membawa dua anak berusia lapan dan 13 tahun melihat persembahan kebudayaan dan konsert melambangkan perpaduan rakyat negara ini.

    “Sangat teruja kerana sambutan tahun ini (diadakan) dekat dengan rumah saya di Sembulan (Kota Kinabalu). Tak sabar tengok persembahan kebudayaan dan nyanyian serta saya mahu anak-anak kenal budaya Malaysia,” katanya yang berasal daripada etnik Bajau kepada Bernama.

    Guru sekolah rendah, Nur Intan Laman, 27, pula berharap lebih ramai anak muda hadir ke sambutan itu bagi memahami kepentingan sejarah pembentukan Malaysia dan makna penyatuan sebagai rakyat negara ini.

    “Bagi saya Hari Malaysia bukan sekadar cuti umum, sebaliknya simbol kepada penyatuan kita sebagai satu negara. Hal ini yang kita semua kena faham dan akan lihat simbol penyatuan itu malam esok. Saya harap murid-murid saya juga datang esok bersama-sama saya,” katanya.

    Nur Intan berasal daripada etnik Dusun turut menantikan ucapan pemimpin pada sambutan itu terutama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang diharap dapat membawa mesej perpaduan dan kemajuan bagi memastikan perpaduan rakyat lebih erat.

    Siti Zahara Gumalang, 30, seorang peniaga kecil pula berkata Hari Malaysia mengingatkannya tentang kepayahan generasi terdahulu dalam membina sebuah negara sekali gus membolehkan rakyatnya hidup dalam keadaan aman damai.

    “Saya akan hadir esok sebagai cara menghargai jasa generasi sebelum ini. Perpaduan sangat penting terutama dalam zaman moden sekarang. Kita tidak boleh lupa semua itu,” katanya yang berketurunan suku kaum Rungus. – Bernama

    Gambar bertarikh 15 September menunjukkan papan tanda sekitar Kota Kinabalu mengundang orang ramai untuk menghadiri Sambutan Hari Malaysia yang diadakan pada 16 September di Padang Merdeka. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda