SEMPORNA, 16 Julai – Kira-kira 5,000 penduduk Semporna Darat daripada 14 buah kampung bakal memiliki sebuah pusat kesihatan.
Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Ramlee Marahaban berkata permohonan kemudahan itu telah dikemukakan kepada kerajaan negeri.
“Permohonan mengambil kira kemudahan penduduk di 14 buah kampung yang berjauhan dengan Hospital Kunak dan Hospital Semporna dan mengalami pertambahan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pertemuan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bersama masyarakat Zon Lihak-Lihak Semporna yang turut dihadiri Komander Baharu ESSCom, Datuk Hazani Ghazali di sini hari ini.
Mengenai permintaan menaik taraf dan pertambahan anggota di Pos Kawalan Keselamatan di Lihak-Lihak, Ramlee berkata perkara itu telah dipanjangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ia dalam perhatian.
“Kita akan usahakan supaya kerja-kerja menaik taraf ini dapat dilaksanakan,” katanya.
Mengenai program ESSCom, Ramlee berkata selepas Sabah melalui episod pencerobohan inilah bukti kerajaan menerusi ESSCom memberi perhatian dan mendekati masyarakat setempat dengan mengembalikan keyakinan terhadap keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
Menurutnya, ESSCom komited dalam menjaga keselamatan dan menjaga hubungan sesama masyarakat di negeri ini dan sehubungan itu masyarakat juga disarankan membantu pihak keselamatan dengan menyalurkan maklumat serta menjadi mata dan telinga kerajaan. – Bernama