Penduduk Sydney dilarang rentas negeri

SYDNEY, 23 JUN – Penduduk Sydney dilarang meninggalkan bandar selepas pihak berkuasa Australia berusaha memutuskan penularan pandemik COVID-19 varian Delta ke wilayah lain.

Lebih daripada 30 orang dijangkiti wabak itu sejak kluster itu dikesan di kawasan Pantai Bondi, dekat sini, pada minggu lalu.

Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian mengumumkan sekatan baharu akan dilaksanakan pada minggu hadapan, termasuk larangan perjalanan yang tidak penting keluar dari Sydney serta mengehadkan perjumpaan sosial.

“Lebih lima juta penduduk Sydney akan dikenakan sekatan perjalanan termasuk di tujuh kawasan pihak berkuasa tempatan yang dikesan berlakunya penularan kes COVID-19,” katanya.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak menguatkuasakan penutupan restoran dan bar, tetapi nyanyian dan tarian tidak dibenarkan manakala acara besar masih boleh berlangsung dengan kapasiti stadium yang terhad sehingga 50 peratus.

Australia adalah antara negara paling berjaya di dunia yang membendung penularan wabak COVID-19 kerana mencatatkan jumlah kes keseluruhan sebanyak 30,000 kes dan 910 kematian.

Berikutan itu, pihak berkuasa Sydney menggesa penduduk bandar raya itu sentiasa mematuhi peraturan baharu.

Menteri Kesihatan New South Wales, Brad Hazzard berkata varian COVID-19 Delta lebih bahaya dan mudah menular.

“Saya tahu melalui pengalaman saya … kini semua orang keletihan dan tidak peduli mengenai tindak balas virus ini. Namun ia adalah versi virus yang lebih berbahaya, jadi sikap tidak peduli itu harus dihapuskan,” katanya. – AFP

Penumpang turun dari kereta api di Sydney kelmarin ketika penduduk dilarang daripada meninggalkan bandar untuk menghentikan penularan wabak varian Delta ke rantau lain. – AFP