Penduduk Syria undi parlimen baharu

DAMSYIK, 19 JULAI – Penduduk Syria mengundi hari ini untuk memilih parlimen baharu tatkala kerajaan Damsyik bergelut dengan sekatan antarabangsa dan ekonomi meleset selepas menawan semula sebahagian besar negara.

Lebih daripada 7,400 stesen pengundian dibuka di kawasan yang dikawal oleh kerajaan di Syria, termasuk untuk kali pertama di bekas kubu pembangkang, dalam pilihan raya ketiga sejak perang meletus sembilan tahun lalu.

Beberapa senarai calon dibenarkan bertanding di seluruh negara tetapi tanpa sebarang tentangan. Parti Baath pimpinan Presiden Bashar al-Assad dan sekutunya dijangka memenangi kebanyakan daripada 250 kerusi parlimen.

Presiden dan isterinya Asma membuang undi mereka di ibu negara, kata pejabat presiden, menyiar gambar pasangan yang memakai penutup mulut dan hidung putih sebagai sebahagian daripada langkah untuk membendung penularan koronavirus.

Anggota sukarelawan berdiri di luar stesen pengundian membawa program dan gambar calon pilihan mereka, dan berusaha menarik orang yang lalu untuk masuk dan mengundi.

Pilihan raya telah ditangguhkan dua kali dari April disebabkan pandemik koronavirus, yang telah menjangkiti 496 orang dan membunuh 25 di kawasan yang dikawal kerajaan.

Stesen pengundian dijangka ditutup pada 1630 GMT tetapi pengundian mungkin dilanjutkan sehingga lima jam.

Pilihan raya presiden akan datang dijangka diadakan pada 2021, dan calon memerlukan kebenaran bertulis dari sekurang-kurangnya 35 anggota parlimen.

Menteri Luar Walid al-Muallem berkata pada bulan lalu bahawa Assad akan berkuasa ‘asalkan warga Syria mahu beliau kekal sebagai presiden.’ – AFP

Presiden Syria Bashar al-Assad membuang undi dalam pilihan raya parlimen sementara isteri, Asma berdiri di sebelahnya di Damsyik, Syria kelmarin. – AP