Penduduk tempatan cuba atasi pencemaran di Titicaca

SANTIAGO DE HUATA, Bolivia – Di bawah terik matahari di tebing Tasik Titicaca, berada di kawasan tinggi di Pergunungan Andes, terlihat sekitar belasan wanita peribumi bertungkus lumus mengutip tin-tin, botol dan juga beg plastik.

Kaum wanita itu berharap untuk memberi contoh teladan kepada penduduk tempatan dan juga pelancong-pelancong asing yang telah meninggalkan bertan-tan sampah di tepi tasik tersebut setiap tahun.

Tetapi usaha mereka itu mungkin tidak memadai di mana air buangan dari kawasan sekitarnya telah mencemarkan tasik tersebut, di mana kebanyakkan penduduk tempatan begitu bergantung kepada penangkapan ikan untuk menyara kehidupan.

Berukuran 8,500 kilometer persegi, Titicaca, yang menembusi sempadan antara Bolivia dan Peru, adalah sebesar pulau Perancis, Corsica.

Dan pada ketinggian altitud lebih daripada 3,800 meter, ia adalah kawasan air bersih tertinggi di dunia yang mana dapat dilalui oleh kapal-kapal besar.

Pemandangan perairan yang tercemar dari tasik Titicaca. – AFP
Seorang wanita asli Aymara mengukur tahap pH (kualiti hidrogen) dalam sampel air dari tasik Titicaca. – AFP

Penduduk tempatan Aymara menggelar tempat itu sebagai ‘tasik suci’.

Di pantai Santiago de Huata, sebuah bandar di pantai tasik Bolivia, wanita-wanita ini menggunakan sarung tangan getah untuk mengutip sampah satu per satu dan memasukkannya ke dalam beg terbiodegradasikan yang besar.

Kempen kebersihan itu diadakan sekali atau dua kali setahun untuk meningkatkan kesedaran mengenai pencemaran yang dahsyat ini. Pada musim kemarau, apabila paras air begitu rendah, skala bencananya semakin jelas.

“Kami mendapati plastik, kertas, botol dan semua jenis sampah,” bahkan juga “lampin yang telah digunakan,” kata Helena Condori, seorang pedagang wanita di perkampungan Peruvian, Juliaca, bertentangan dengan tasik tersebut.

“Ia menyakitkan hati saya di mana kami terpaksa membersihkan apa yang dibuang oleh orang lain.”

Tetapi dia masih penuh semangat walaupun mempunyai tugas besar untuk dipikul, kerana ‘ia membuatkan kami merasa bahawa Peru dan Bolivia lebih bersatu daripada sebelumnya.’

Wanita-wanita ini telah membersihkan pantai di Puerto Perez, juga di sebelah Bolivia. Tetapi para ahli alam sekitar dan pegawai tempatan menunjukkan masalah yang lebih besar iaitu air sisa kini mengalir ke dalam tasik.

Kurang daripada 30 tahun yang lalu, para penduduk masih boleh meminum air di tasik ini, namun sekarang tidak lagi.

“Ia adalah satu masalah yang menyebabkan pencemaran yang serius,” kata Fanny Zeballos, seorang jurutera alam sekitar bagi organisasi bukan kerajaan Agua Sustentable (Kelestarian Air).

Organisasi ini menyokong inisiatif pembersihan, walaupun Zeballos mengakui ianya ‘tidak akan mencukupi.’

Kaum wanita ini berharap untuk memberi contoh teladan kepada penduduk tempatan dan juga pelancong-pelancong asing yang telah meninggalkan bertan-tan sampah di tepi tasik tersebut setiap tahun. – AFP
Penduduk asli wanita Aymara tiba untuk membersihkan pantai tasik Titicaca di Puerto Perez, jabatan La Paz, Bolivia. – AFP

Ahli majlis tempatan Bolivian, Reina Silva, yang juga mengambil bahagian dalam kempen kebersihan, berkata kesan pencemaran itu terlalu jelas untuk dilihat.

“Binatang ternakan kami memakan totora (sejenis tumbuhan) dan ia mati akibat daripada cirit-birit. Lembu dan kambing-kambing kami meminum air dan mati. Begitulah kami tahu bahawa ianya tercemar,” katanya.

“Saya berasa tidak sedap hati. Saya rasa saya juga akan mati.”

Agua Sustentable meletakkan pasukan wanita tempatan dan menyediakan peralatan untuk mengukur tahap pencemaran di tasik berkenaan.

Kali ini, mereka telah mengumpulkan sekitar 100 kilogram sampah.

Juan Jose Ocola, ketua Pihak Berkuasa Tasik Titicaca yang telah dikendalikan oleh dua negara tersebut, berkata bahawa pencemaran tertumpu pada beberapa tebing sungai namun tidak mempengaruhi keseluruhan tasik.

“Tasik Titicaca terdedah kepada masalah pencemaran yang serius, kerana ia terdedah kepada pelbagai jenis pencemaran yang dihasilkan di kawasan sekitarnya,” katanya.

Pencemaran ini kebanyakannya terdiri daripada tiga pusat bandar, rumah kepada kira-kira 1.6 juta penduduk Puno dan Juliaca di sebelah Peru dan El Alto, bersebelahan dengan ibu negara La Paz, di Bolivia.

Ocola berkata walaupun wanita-wanita tempatan ini telah membuat usaha-usaha ‘yang besar’, dua perkara masih amat diperlukan: pembinaan loji rawatan air dan tempat pembuangan sampah baharu.

Peru telah mengumumkan pembinaan 10 loji rawatan air, dengan kos sebanyak AS$400 juta, manakala Bolivia telah memperuntukkan AS$80 juta untuk projek serupa di El Alto. – AFP