PITAS, 9 FEB – Penduduk di Mukim Kanibongan yang terletak kira-kira 25 kilometer daripada pekan Pitas terkejut dan tidak menyangka kampung mereka dilanda banjir besar kali ini kerana ia tidak pernah berlaku sejak 23 tahun lepas.
Rata-rata penduduk yang ditemui berkata kali terakhir kawasan berkenaan dilanda banjir besar ialah pada 1999 sehingga menenggelamkan banyak rumah di situ.
Aidil Mustapah Pusong, 50, penduduk tetap Kampung Pangkalan Kanibongan berkata setiap tahun, kampung berkenaan seringkali dilanda banjir tetapi tidak seteruk kejadian Ahad
lepas.
Kali ini rumahnya yang terletak kira-kira 20 meter dari sungai Kanibongan terkena banjir walaupun tiang rumah setinggi 18 kaki.
“Air mula naik pukul 1 tengah hari pada Ahad lepas ekoran hujan lebat tidak berhenti sejak Sabtu. Mulanya saya menyangka air hanya naik seperti biasa namun, kali ini ia berbeza….air naik dengan cepat.
“Dalam satu jam air sudah naik sehingga 18 kaki setinggi rumah saya dan air sudah memasuki ke dalam rumah. Kedai runcit dan bengkel kenderaan di bawah rumah digenangi air sekelip mata,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kampung Sinukab dekat sini.
Pitas sebuah daerah di kawasan utara Sabah terletak kira-kira 195 kilometer dari Kota Kinabalu.
Seorang lagi mangsa banjir, Cyrus Masikah, 34, berkata banjir kali ini menjadi sejarah buat dirinya apabila rumahnya dinaiki air sehingga bahagian atap.
“Selama saya tinggal di kampung ini sejak lahir, ini kali pertama saya berdepan banjir luar biasa seperti ini. Tidak pernah air naik setinggi ini sehingga menenggelamkan jalan kampung yang terletak di kawasan tinggi,” katanya. – Bernama