MUKAH, 17 Jan – Kira-kira 1,350 orang penghuni rumah panjang dan penduduk kampung di kawasan Tanjung Pedada, Sungai Mukah, 27 kilometer dari sini terjejas hubungan darat apabila sebahagian jalan utama menghubungi kawasan itu ditenggelami banjir.
Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Dalat Mukah (MDDM), Kaunselor Mawar Awang berkata rumah panjang beliau iaitu Rumah Mawar antara yang terjejas hubungan kerana 800 meter dari jalan sepanjang tujuh kilometer itu ditenggelami air setinggi 1.5 meter setakat 10 pagi hari ini.
Beliau berkata rumah panjang lain yang terjejas sejak empat hari lalu ialah Rumah Tinggang, Rumah Andrea, Rumah Banyai, Rumah Salek, Rumah Radin, Rumah Ibat, Rumah Randi, Rumah Linchan, Rumah Robin, Rumah Ason, Rumah Mathew, Rumah Empi, Rumah Garit, Rumah Lede, Rumah Beriak, Rumah Butang dan Kampung Seting.
“Jarak yang ditenggelami air dan tidak dapat dilalui kenderaan menyebabkan pergerakan penduduk rumah-rumah panjang dan kampung di sini terjejas dan terpaksa menaiki perahu untuk ke tempat tinggi seperti ke bandar Mukah.
“Pada tahun lalu jalan itu ditenggelami banjir setinggi 1.5 meter. Tetapi kalau melihat keadaan cuaca hari ini kita khuatir paras air akan meningkat dan jika berterusan dalam tempoh seminggu kawasan ini akan terus terputus hubungan darat ,” katanya semasa dihubungi Bernama.
Katanya selepas reda air banjir akan bertakung sehingga dua minggu sebelum kering, mengakibatkan tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran musnah.
“Sebenarnya, air sudah naik sejak 10 hari lalu tetapi sejak empat hari lepas jalan utama menghubungkan rumah-rumah panjang dan kampung di kawasan ini ditenggelami banjir. Manakala bawah rumah-rumah panjang dinaiki air setinggi 1 meter.
“Saya akan bersama-sama dengan semua tuai rumah panjang menemui pegawai daerah di Pejabat Daerah Mukah hari ini untuk memaklumkan keadaan banjir itu. Kami juga akan ke JKR (Jabatan Kerja Raya) meminta bahagian jalan yang kerap ditenggelami banjir dinaik taraf,” kata Mawar.
Beliau berkata, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo juga telah dimaklumkan.
Sementara itu, Sekolah Kebangsaan Kenyana di sini yang mempunyai 40 orang murid, 13 guru dan tujuh kakitangan bukan guru, masih ditutup apabila dinaiki air kira-kira satu meter pada Isnin. – Bernama