Penduduk Tonga diberi amaran hujan berasid

NUKU’ALOFA, TONGA, 22 DIS – Kabus bertoksik yang dimuntahkan dari gunung berapi yang meletus di Tonga boleh menurunkan hujan berasid di seluruh kerajaan Pasifik itu, yang berpotensi membuat air minuman beracun dan merosakkan kulit dan mata, tekan perkhidmatan kecemasan.

Gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha’apai meletus pada Isnin, memuntahkan asap 18km ke udara, kata Perkhidmatan Geologi Tonga (TGS).

Polis melaporkan tidak ada mangsa cedera dalam ledakan itu namun TGS lewat kelmarin berkata kabus dan gas boleh menyebabkan hujan berasid jika bercampur dengan air di atmosfera.

Ia menasihatkan penduduk untuk memindahkan sistem talang dari sistem penyimpanan air hujan mereka sehingga makluman lanjut diumumkan.

“Simptom-simptom jika terdedah pada hujan asid adalah seperti mengalami kegatalan dan iritasi kulit, pandangan kabur dan pengubahan warna jika terdedah pada mata,” katanya.

“Jika mata atau kulit terdedah kepada hujan asid, tolong segera bawa kepada doktor perubatan atau pakar perubatan bagi rawatan selanjutnya,” katanya.

Gunung berapi itu terletak di pulau tidak dihuni kira-kira 65km bandar Nuku’alofa utara Tonga.

Gunung berapi itu hidup semula pada 2015, mencetuskan struktur pulau baharu di kawahnya.

Kod merah penerbangan telah dikeluarkan selepas ledakan berlaku, menasihatkan syarikat penerbangan untuk mengelak kawasan itu, menyebabkan Air New Zealand membatalkan penerbangan dari Auckland ke Nuku’alofa, kelmarin. – AFP