Penduduk Turki abai peraturan koronavirus

ISTANBUL, 7 JUN – Penduduk Istanbul mengerumuni pantai dan taman di bandar pada hujung minggu pertama tanpa lockdown koronavirus, mendorong menteri kesihatan negara mengeluarkan teguran yang mengingatkan pandemik COVID-19 masih menimbulkan ancaman.

Gambar di media sosial dan dalam media-media berita menunjukkan orang ramai berkelah dan berparti pada malam semalam tanpa menghiraukan penjarakan sosial atau memakai penutup mulut dan hidung.

Menteri Kesihatan Fahrettin Koca berkata di Twitter supaya ‘jangan ‘bernormal‘ terlalu banyak’ dan menggesa orang ramai supaya memakai penutup mulut dan hidung dan mengekalkan jarak mereka.

Restoran, kafe, gim, taman, pantai dan muzium mula dibuka semula pada Isnin dan penerbangan domestik disambung semula. Turki melaporkan 4,669 kematian akibat COVID-19 dan 169,218 kes disahkan.

Satu keputusan oleh Kementerian Dalam Negeri untuk meneruskan perintah berkurung pada hujung minggu di 15 wilayah, termasuk Istanbul, ditarik balik pada Jumaat oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan dengan beberapa siri tweet.

Beliau berkata beliau menarik balik keputusan itu berdasarkan alasan ia akan ‘membawa kepada kesan sosial dan ekonomi berlainan.’

Turki memilih perintah berkurung percutian dan hujung minggu yang singkat semasa pandemik dan bukannya lockdown sepenuhnya, bimbang kesan negatif ke atas ekonomi. – AP

Gambar bertarikh 6 Jun 2020 menunjukkan pengunjung duduk di luar kafe di Ankara, Turki. – AP