Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Dua orang calon yang layak untuk mengisikan kekosongan jawatan ketua Kampung Menunggol, masing-masing menerima 64 undi menyatakan bersetuju manakala 13 undi rosak dan empat kertas undi menyatakan tidak bersetuju pada Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Menunggol, Mukim Kota Batu, hari ini.
Menurut kenyataan Jabatan Daerah Brunei dan Muara, majlis yang berlangsung di Sekolah Rendah Nakhoda Abdul Rashid, Kampung Menunggol, Mukim Kota Batu itu diadakan secara walk-in iaitu menggunakan kaedah kertas undi dan menggunakan tablet secara offline voting.
Manakala itu, pengundian menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK telah bermula pada 17 Disember lalu sehingga 11 pagi pada hari ini.
Dua calon yang layak bagi mengisikan kekosongan jawatan berkenaan ialah Awang Rasli bin Taram, 33, yang bermastautin di Kampung Menunggol sejak lahir pada 1988.
Beliau memperolehi kelulusan Sarjana Sastera (Kesusteraan Melayu) dari Universiti Brunei Darussalam pada 2016 dan lulus Persekolahan Ugama Darjah 6 pada 2002.
Manakala itu, calon kedua ialah Haji Ibrahim bin Haji Osman, 57, dan sudah bermastautin di Kampung Menunggol selama 30 tahun sejak 1985.
Beliau memperolehi kelulusan lima Kredit Sijil Am Pelajaran Singapore Cambridge pada 1985 serta Sijil Pelajaran Ugama (SPU) pada 1991 dari Sekolah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah.
Turut hadir pada majlis itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis selaku penghulu Mukim Kota Batu yang juga pemangku penghulu Mukim Kianggeh, penolong pegawai daerah, pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), pemangku-pemangku ketua kampung Zon 3 serta pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Brunei dan Muara.
Keputusan pengundian dan pemilihan calon berkenaan akan dihadapkan kepada Lembaga Perjawatan, Disiplin dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, KHEDN bagi proses selanjutnya.
Majlis pengundian dan pemilihan calon penghulu dan ketua kampung bagi Daerah Brunei dan Muara seterusnya akan diadakan bagi calon penghulu Mukim Lumapas di Sekolah Menengah Sayidina Umar Al-Khattab, Lumapas dari 24 hingga 26 Disember depan.
Sehubungan itu, penduduk kampung di bawah Mukim Lumapas yang terdiri daripada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam, tinggal bermastautin di kampung-kampung di bawah Mukim Lumapas serta berumur tidak kurang 18 tahun (pada tarikh pengundian) dialu-alukan untuk mendaftar sebagai pengundi dengan pemangku ketua kampung masing-masing.