Penduduk zon hijau jangan leka

KUCHING, 24 APRIL – Penduduk di daerah Sarawak yang dikategorikan sebagai zon hijau daripada penyakit COVID-19 diingatkan supaya tidak leka sebaliknya mereka disarankan agar meneruskan langkah-langkah pencegahan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sehingga hari ini, terdapat empat bahagian yang sebelum ini dikategorikan sebagai kawasan kuning telah bertukar ke kawasan hijau iaitu bahagian Mukah, Sarikei, Sibu dan Limbang.

“Saya ingin menasihatkan kepada orang ramai untuk jangan terlalu leka dengan arahan yang telah dikeluarkan sebelum ini terutamanya bagi kawasan yang telah diisytiharkan dari kawasan kuning kepada kawasan hijau. Kita masih lagi berperang untuk memutus rantaian (jangkitan COVID-19),” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini.

Selain empat bahagian yang telah bertukar dari kawasan kuning ke kawasan hijau itu, 25 daerah lagi di Sarawak iaitu Lawas, Matu, Lundu, Saratok, Pusa, Kabong, Lubok Antu, Meradong, Julau, Pakan, Kanowit, Selangau, Tatau, Sebauh, Dalat, Daro, Tanjung Manis, Kapit, Belaga, Song, Bukit Mabong, Marudi, Subis, Beluru dan Telang Usang juga dikategorikan sebagai zon selamat ataupun kawasan hijau.

Sesebuah daerah diisytiharkan sebagai kawasan hijau apabila daerah berkenaan tidak merekodkan sebarang kes baharu selama 14 hari yang lepas. – Bernama

Anggota Bomba dan Penyelamat Sarawak menaiki kenderaan ketika menjalankan proses penyahkuman atau disinfeksi di Lebuh Wayang pada Operasi Pembersihan Disinfeksi di Kuching awal bulan ini. – Bernama