Penebangan hutan Amazon cecah rekod

RIO DE JANEIRO, 8 OGOS – Kadar penebangan hutan Amazon di Brazil hampir mencapai rekod tahunan tertinggi pernah dilaporkan apabila 8,712 kilometer persegi kawasan dilaporkan musnah antara Ogos hingga Julai lalu.

Melalui data dari program kawalan Agensi Angkasa Brazil (INPE), DETER, pemusnahan hutan seluas 8,712 kilometer persegi itu menyamai saiz sebesar Puerto Rico.

Ia adalah statistik tahunan kedua terburuk direkodkan oleh agensi yang mengukur penebangan hutan bagi tempoh Ogos hingga Julai setiap tahun, dengan rekod tertinggi 9,216 kilometer persegi tahun, sejak program itu dilancarkan pada 2015.

Angka tahunan terbaharu itu mencatatkan peningkatan lebih 90 peratus berbanding tempoh 2017-2018 iaitu sebelum pimpinan Presiden Brazil, Jair Bolsonaro.

Presiden sayap kanan itu menolak program perlindungan alam sekitar dan menggalakkan pembukaan kawasan hutan dilindungi untuk kegiatan pertanian serta perlombongan.

Pakar alam sekitar yang juga Setiausaha Eksekutif Balai Cerap Iklim iaitu gabungan kumpulan pencinta alam, menyifatkan keputusan itu memberi kesan buruk kepada Amazon, yang menjadi sumber kritikal dalam usaha mengekang perubahan iklim.

“Masa depan hutan ini sekarang berada di tangan pemaju hartanah, pembalak haram dan pelombong emas.

“Amazon kini menjadi kawasan bebas untuk semua kegiatan jenayah alam sekitar dengan disokong kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP

Gambar fail menunjukkan kawasan pembakaran hutan hujan Amazon di selatan Novo Progresso, Para, Brazil. Kadar penebangan hutan Amazon di Brazil mencapai rekod tahunan tertinggi apabila 8,712 kilometer persegi kawasan dilaporkan musnah antara Ogos hingga Julai lalu. – AFP