Penekanan terhadap Bahasa Arab

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jan – Dalam usaha untuk meninjau dan mengikuti persiapan, penilaian, strategi dan sasaran pihak sekolah dalam mengekalkan dan meningkatkan lagi trek rekod pencapaian sekolah dalam Penilaian Sekolah Rendah (PSR), Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, telah mengadakan lawatan ke Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan (SPA BSB), di sini, hari ini.

Kunjungan Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin itu dialu-alukan oleh Guru Besar SPA BSB, Dayang Sarimah binti Haji Ahad bersama guru-guru dan kakitangan sekolah berkenaan.

Turut menyertai lawatan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof dan Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Dayang Ajijah binti Haji Moktal.

Dalam lawatan tersebut Yang Berhormat Pehin memberikan penekanan terhadap usaha pemimpin sekolah dan pimpinannya dalam memperkasa Bahasa Arab di sekolah-sekolah Arab seluruh negara dengan menimbulkan suasana berbahasa Arab di sekolah-sekolah Arab.

Penekanan tersebut bertujuan untuk mengembangkan dan menyeimbangkan kebolehan berbahasa Arab di samping kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid sekolah Arab.

Yang Berhormat Pehin ketika berucap di Bilik Mesyuarat, Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan.
Yang Berhormat Pehin ketika berucap di Bilik Mesyuarat, Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika mengadakan lawatan kerja pada hari pertama persekolahan di Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika mengadakan lawatan kerja pada hari pertama persekolahan di Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan.

Terdahulu, Yang Berhormat Pehin berkesempatan mendengarkan taklimat mengenai Pelan Perkembangan Sekolah Bagi Tahun 2017 yang disampaikan oleh Dayang Sarimah.

Menurut Dayang Sarimah, antara usaha pihak sekolah berkenaan adalah dalam mempelbagaikan program-program intervensi bagi subjek-subjek PSR dan mengukuhkan penguasaan Bahasa Arab dan penuturannya.

Sesi lawatan dimulakan dengan meninjau pembelajaran murid-murid Tahun 6 di sekolah tersebut dan seterusnya meninjau ke bilik-bilik guru, Bilik Syifa bagi Unit Medik, Dewan Mesyuarat dan Dewan SPA BSB.

Semasa ditemu bual pihak media, Yang Berhormat Pehin berkata, “Terdapat kelainan ataupun perbezaan di Sekolah Persediaan Arab dibandingkan dengan sekolah-sekolah lain. Mereka ini (murid-murid Sekolah Persediaan Arab) adalah yang terpilih bukan sahaja kerana peperiksaan tetapi juga kerana ibu bapa mereka.

“Ibu bapa mereka memilih sekolah ini, dan dengan sendirinya ibu bapa adalah komited kepada sekolah ini dan kepada kejayaan sekolah ini.”

Yang Berhormat Pehin juga menjelaskan bahawa kejayaan sekolah berkenaan adalah hasil kerjasama yang erat di antara ibu bapa dan penjaga, murid, serta guru-guru sekolah.

Selain itu, Yang Berhormat Pehin juga menyentuh mengenai memperkasa Bahasa Arab yang mana sebelum ini telah didapati bahawa Bahasa Inggeris murid-murid lebih bagus daripada Bahasa Arab mereka. Oleh yang demikian dengan memperkasakan Bahasa Arab, ia akan mengimbangkan kedua-dua bahasa berkenaan.

Beliau juga menekankan bahawa selain menyeimbangkan Bahasa Arab dengan Bahasa Inggeris, pihak kementerian juga ingin menyeimbangkan antara aliran umum dengan aliran agama.

Para pelajar memulakan pembelajaran di hari pertama persekolahan mereka.
Para pelajar memulakan pembelajaran di hari pertama persekolahan mereka.

“Sekolah berkenaan ditubuhkan pada mulanya adalah untuk kedua-dua aliran ini, dan ini telah berjalan dengan baik dan berjaya. Tetapi di sana ada terdapatnya tidak keseimbangan di mana pembahagian mata-mata pelajaran dan penekanan kepada peperiksaan itu lebih memberatkan kepada orang yang mengikuti aliran-aliran Arab.”

Oleh yang demikian, menurut Yang Berhormat Pehin, jawatankuasa yang berkenaan akan membuat kajian mengenai hala tuju Sekolah Persediaan Arab sesuai dengan hasrat negara daripada titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengenai perkara berkenaan, yang InsyaAllah akan nampak pemikiran-pemikiran jitu yang akan dirumuskan dalam jawatankuasa berkenaan.

SPA BSB yang terletak di Kilometer 2, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha mula ditubuhkan pada tahun 1984 bagi menampung kemasukan awal murid-murid perempuan ke persekolahan Arab. Ia mempunyai 30 buah bilik kelas, dilengkapi dengan dua bilik ICT, bilik pentadbiran, bilik mesyuarat, sebuah kantin dan pondok pengawal keselamatan.

Sekolah tersebut menawarkan mata pelajaran teras agama iaitu Al-Quran, Bahasa Arab dan At-Tarbiyyah Ad-Diniyyah; mata pelajaran teras (Umum) iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan MIB; dan mata pelajaran wajib iaitu Social Studies, Khat, Amali Agama, ICT dan Pendidikan Jasmani.

SPA BSB menempatkan pelajar-pelajar perempuan Tahun 5 dan 6 sahaja. Pada tahun ini seramai 477 pelajar Tahun 6 memulakan persekolahan sesi 2017 dan dijangka seramai 390 pelajar baru Tahun 5 akan memulakan sesi persekolahan pada 5 Januari 2017 nanti.