Penembak Norway bermotif perkauman

OSLO, 19 SEPT – Seorang lelaki Norway yang dituduh membunuh adik perempuan tirinya sebelum melepaskan tembakan dalam sebuah masjid berhampiran bandar ini Ogos lalu mempunyai motif perkauman, kata polis kelmarin, mengesahkan dia menembak mangsa kerana berketurunan Cina.

Philip Manshaus, 22, ditahan selepas melepaskan tembakan dalam masjid Al-Noor di pinggir bandar ini 10 Ogos lalu sebelum dihalang seorang lelaki 65 tahun. Hanya tiga jemaah berada dalam masjid ketika itu dan tidak berlaku sebarang kecederaan.

Mayat adik tirinya berusia 17 tahun kemudian ditemui di rumah mereka. Diambil sebagai anak angkat oleh teman wanita bapanya, Johanne Zhangjia Ihle-Hansen, maut akibat terkena empat tembakan, kata polis dalam satu kenyataan.

Pegawai polis, Pal-Fredrik Hjort Kraby memberitahu saluran TV2, penjelasan Manshaus dan bukti teknikal termasuk ketiadaan pergelutan ‘menyokong anggapan mangsa dibunuh kerana berketurunan Cina.’

Polis setakat ini menimbang dua motif mungkin atas pembunuhannya iaitu jenayah perkauman dan mangsa mungkin tahu rancangan abangnya untuk menyerang masjid dan cuba menghalangnya.

Manshaus, yang ditahan sebelum didakwa secara rasmi menolak tindakan keganasan dan pembunuhan ke atasnya. – AFP

Philip Manshaus ketika hadir di sebuah mahkamah di Oslo, 12 September lalu. – AP