Penemuan katak tebu cetus kebimbangan petani

DAERAH NANTOU, TAIWAN – Katak adalah simbol kemakmuran dan nasib baik di Taiwan, tetapi penemuan spesies invasif yang tidak dijangka menyebabkan pegawai dan pencinta alam sekitar bergegas untuk mengawal ia daripada merebak.

Dengan lampu suluh di tangan dan memakai sarung tangan pelindung, berpuluh-puluh anggota sukarelawan dari Persatuan Pemuliharaan Amfibia Taiwan bekerja sepanjang malam mencari sawah dan plot sayur-sayuran tempat buruan mereka – katak tebu.

Sepatutnya tidak ada sebab untuk amfibia besar dan sangat toksik ini
wujud di Chaotun, sebuah perbandaran di kaki bukit pergunungan tengah Taiwan.

Katak tebu adalah haiwan asli di Amerika Selatan dan Tengah, walaupun mereka telahditemui di tempat-tempat seperti Australia dan Filipina, namun tidak pernah direkodkan di Taiwan.

Sehinggalah beberapa minggu yang lalu seorang penduduk tempatan menemui beberapa amfibia besar di kebun sayur komunitinya dan memuat naik gambar dalam talian, satu tindakan yang mencetuskan pemburuan katak serta-merta.

“Operasi pencarian yang pantas dan besar-besaran adalah penting apabila katak tebu pertama kali ditemui,” beritahu Lin Chun-fu, seorang saintis amfibia di Institut Penyelidikan Spesies Endemik yang dikendalikan kerajaan kepada AFP apabila menjelaskan mengapa anggota pemuliharaan alam sekitar sejak itu bergegas mencari dan mengeluarkan katak tebu.

Gambar menunjukkan dua pembantu di Institut Penyelidikan Spesies Endemik sedang memeriksa katak tebu di Daerah Nanto. – AFP
Gambar menunjukkan najis katak tebu di Institut Penyelidikan Spesies Endemik di Daerah Nantou. – AFP

“Saiz mereka sangat besar dan mereka tidak mempunyai musuh semula jadi di Taiwan,” tambahnya.

Carian di hujung jari

Tidak lama selepas gambar itu dimuat naik oleh Yang Yi-ju, seorang pakar di Universiti Kebangsaan Dong Hwa, menghantar sekumpulan sukarelawan dari Persatuan Pemuliharaan Amfibia untuk menyiasat.

Mereka tiba di kebun sayur dan terkejut apabila menemui 27 ekor katak di kawasan berhampiran.

Dia dengan segera mengenal pasti penceroboh itu sebagai rhinella marina melalui kelenjar partoid yang besar di belakang telinga tempat katak tebu itu mengeluarkan racun berbahaya.

“Saya terkejut dan bimbang apabila mereka menemukan lebih daripada 20 ekor. Ini bukan perkara yang mudah untuk ditangani,” katanya.

“Kami mula memaklumkan dan menggerakkan semua orang untuk bertindak,” katanya sambil menambah kehadiran anak-anak katak menunjukkan katak tersebut sedang membiak.

Katak tebu adalah spesies invasif berbahaya kerana tiga sebab utama.

Ia adalah pemangsa yang rakus, ia amat berjaya dalam pembiakan dan ia sangat beracun. Kualiti terakhir itu, mekanisme pertahanan, amat berbahaya kepada anjing yang mungkin menjilat atau menggigitnya.

Petani tempatan memberitahu anggota pemuliharaan bahawa mereka telah menyedari kedatangan katak bersaiz besar itu tetapi tidak pernah melaporkannya.

“Petani Taiwan secara amnya tidak mengendahkan katak malah memandang baik terhadapnya apabila menemukannya kerana ia membantu menghapuskan haiwan perosak dan juga merupakan simbol nasib baik,” jelas Yang.

“Tidak terlintas dalam fikiran mereka bahawa ini adalah spesies invasif dari tanah asing.”

Pegawai pemuliharaan dan sukarelawan alam sekitar telah bekerja tanpa henti untuk melakukan pencarian yang teliti.

“Kami telah membahagikan (perbandaran) kepada grid seluas 200 kali 200 meter persegi untuk menyiasat satu demi satu jika terdapat katak laut,” kata penyelidik lapangan Lin Yong-lun sambil menunjuk kepada satu siri peta berkod warna. Perimeter carian telah diperluaskan kepada radius 4 kilometer.

Simbol keuntungan

Setakat ini lebih 200 katak laut pelbagai saiz telah ditangkap dan ditempatkan di Institut Penyelidikan Spesies Endemik.

Katak tebu adalah antara senarai ‘100 Spesies Asing Invasif’ dunia yang disusun oleh kumpulan pakar spesies Invasif (ISSG), badan penasihat antarabangsa saintis dan pakar dasar.

Juga dikenali sebagai katak laut, dengan nama Inggeris mereka yang paling umum berasal dari fakta bahawa ia digunakan di ladang gula untuk memburu kumbang tebu.

Ia telah diperkenalkan ke ladang di Australia, Filipina, Jepun, Carribean serta Florida dan Hawaii di mana ia telah menyebabkan kerosakan kepada ekosistem tempatan.

Walaupun penampilan mereka berketuat, katak adalah simbol kekayaan, umur panjang dan tuah dalam budaya Cina. Ia juga digunakan dalam perubatan Cina dan totemnya adalah biasa dalam feng shui untuk mengelakkan nasib malang.

“Di hadapan kedai awda boleh menemukan totem katak, lukisan dan juga katak hidup sebenar. Ia adalah simbol keuntungan dan nasib baik,” kata saintis haiwan amfibia, Lin.

Sehingga 2016 undang-undang membenarkan katak tebu diimport ke Taiwan sebagai haiwan peliharaan di mana ia dijual di antara AS$107-AS$142.

Penyokong pemuliharaan percaya sejak import diharamkan, orang ramai telah mula membiak katak tebu secara tempatan dan ada yang telah melarikan diri atau ditinggalkan oleh tuan mereka.

Setakat ini belum ada lagi penemuan yang dilaporkan di Taiwan dan Yang berasa agak ragu-ragu mengenai kejayaan pengawalan penyebaran.

“Musim bunga akan datang semasa musim mengawan adalah apabila kita benar-benar tahu dengan pasti sama ada kita berjaya membendungnya,” katanya. – AFP