Saturday, October 1, 2022
34.4 C
Brunei

Penemuan mozek jadi khazanah arkeologi terbesar

-

BUREIJ, SEMENANJUNG GAZA – Pada musim bunga lalu, seorang petani Palestin yang sedang menanam pokok zaitun berasa hairan apabila penyodoknya terkena objek keras.

Dia memanggil anaknya dan selama tiga bulan, kedua-duanya perlahan-lahan menggali mozek era Byzantine yang berhias. Pakar mengatakan penemuan berkenaan sebagai salah satu khazanah arkeologi terbesar yang pernah ditemui di Gaza.

Penemuan itu telah mencetuskan keterujaan dalam kalangan ahli arkeologi, dan pemerintah Hamas wilayah itu telah merancang satu pengumuman besar dalam beberapa hari akan datang.

Tetapi penemuan tersebut juga merupakan satu amaran untuk perlindungan yang lebih baik terhadap barang antik Gaza dan koleksi rapuh tapak yang diancam oleh kekurangan kesedaran dan sumber serta risiko berterusan konflik antara Israel dan pejuang tempatan Palestin.

Hamas sendiri dilihat kurang memberi perhatian untuk memelihara tapak bersejarah mahupun penemuan kerana bergelut untuk memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat. Misalnya, lebih 2.3 juta orang berada di kawasan seluas hanya 300 kilometer persegi. Pada 2017, Hamas memusnahkan sebahagian besar tapak yang mengandungi jenazah dari Zaman Gangsa berusia 4,500 tahun untuk membuat projek perumahan bagi pekerjanya.

Mozek itu ditemui hanya satu kilometer dari sempadan Israel. Lantai mozek, yang mempunyai 17 ikonografi binatang dan burung, dipulihara dengan baik dan warnanya masih cerah.

“Ia merupakan lantai mozek yang pa-ling indah pernah ditemui di Gaza, baik daripada segi kualiti gambaran grafik dan kerumitan geometri,” kata seorang ahli arkeologi dari Sekolah Alkitab dan Arkeologi Perancis di Jerusalem, René Elter.

Elter berkata laluan pejalan kaki mozek bermula pada zaman antara abad ke-5 dan ke-7. Tetapi beliau berkata penyelidikan yang lebih mendalam perlu dijalankan untuk menentukan bila secara tepat dibina dan sama ada ia adalah sebahagian dari kompleks agama atau sekular. Beliau yang telah menjalankan penyelidikan di Gaza sebelum ini, tidak dapat melawat tapak dan hanya melihat beberapa siri foto serta video yang diambil oleh rakan penyelidikan tempatan.

Jabatan barang antik pimpinan Hamas menyifatkan mozek itu sebagai “penemuan arkeologi besar” tetapi enggan mengulas lanjut, mengatakan akan ada pengumuman rasmi kemudian.

Pemilik tanah yang enggan dikenali sebelum pengumuman rasmi, telah menutup bahagian lantai mozek yang digali dengan kepingan timah. Dia berharap untuk menerima pampasan kerana melindungi penemuan unik pada hartanya.

Elter juga bimbang bahawa penggalian oleh orang yang tidak berpengalaman boleh merosakkan tapak itu. Harapannya ialah agar pasukan profesional dapat mengorek, memulihkan dan melindungi mozek dengan kaedah yang betul. – AP

Penduduk Palestin membersihkan sekitar lantai mozek era Byzantine yang ditemui baru-baru ini oleh seorang petani di Bureij. – AP
Seorang warga Palestin menyapu habuk daripada bahagian lantai mozek era Byzantine yang ditemui di Bureij di tengah Semenanjung Gaza. – AP
Perincian bahagian lantai mozek zaman Byzantine yang ditemui baru-baru ini oleh seorang petani Palestin. – AP
Petani Palestin berkata dia menemui lantai mozek semasa menanam pokok zaitun dan secara senyap-senyap menggalinya selama beberapa bulan bersama anaknya. – AP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

19 terbunuh, 28 cedera dalam kejadian letupan bom

ISLAMABAD, 30 SEPT – Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan 28 lagi cedera dalam satu kejadian pengeboman nekad di sebuah pusat pendidikan di ibu negara Afghanistan,...
- Advertisment -