Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penemuan tapak kuno bersejarah di Aleppo

    ALEPPO, Syria – Peperangan menghancurkan rumah-rumah dan masyarakat di Syria, namun di sebalik kemusnahan, beberapa rahsia lama kian terbongkar.

    Di bahagian bandar raya purba Aleppo di utara Syria, di sebalik kemodenan bandar raya tersebut, rahsia-rahsia sejarah purba mula terlihat buat kali pertama setelah beratus-ratus tahun.

    Apabila peperangan tercetus di Aleppo, yang dulu pernah menjadi kuasa ekonomi Syria, pasar-pasar lamanya telah dibakar dan musnah, manakala pintu-pintu gerbang kuno di bandar lama itu juga teruk terjejas.

    Bab al-Nasr atau ‘Gerbang Kejayaan’ adalah antara tapak-tapak kuno yang teruk terjejas semasa peperangan tercetus di mana kumpulan pemberontak telah menguasai sebahagian daripada bandar raya itu sebelum mereka berjaya dihalau pada bulan Disember 2016.

    ‘Gerbang Kejayaan’ itu telah dibina pada tahun 1212 dan telah menjadi gerbang terpenting dalam menjaga tembok utara di kota lama Aleppo, yang mana mempunyai sembilan buah gerbang bersejarah.

    Penduduk berjalan melewati Gerbang Bab al-Nasr di bandar lama Aleppo, Syria. – Xinhua
    Pekerja warga Syria dilihat berada di dalam bangunan purba, Gerbang Bab al-Nasr di bandar lama Aleppo, Syria. – Xinhua

    Selepas peperangan, usaha-usaha pemulihan telah bermula di bandar lama Aleppo.

    Pembaikan tersebut telah dijalankan oleh beberapa sukarelawan yang telah mengorbankan masa dan kewangan mereka semata-mata untuk menyelamatkan warisan bandar raya mereka itu.

    Mereka yang melakukan pembaikan dan pemulihan di ‘Gerbang Kejayaan’ itu telah menggelarkan diri mereka sebagai ‘Rakan-rakan Bab al-Nasr’.

    Apabila mereka mula melakukan kerja-kerja pemulihan, lapisan dinding dan gerbang yang telah retak di beberapa bahagian yang terjejas, telah mendedahkan struktur dan seni bina asal gerbang dan bahagian luarannya.

    Bahagian-bahagian tersebut termasuklah tempat suci dan ‘menara pertahanan’, yang pernah digunakan suatu ketika dahulu dalam mempertahankan kota purba daripada penceroboh asing.

    Apabila lapisan dan ukiran lukisan pada dinding asalnya mula tanggal, para pekerja di tapak itu mula mengupas lapisan dindingnya.

    Kemudian mereka menemui lubang-lubang di bahagian dinding bangunan tersebut yang mana dipercayai sebagai sebahagian daripada seni bina pintu kunci gerbang berkenaan.

    Mereka juga menemui sebuah terowong yang digali tidak berjauhan dengan pintu gerbang itu, namun tidak mengetahui tentang penggunaannya kerana ia tidak pernah disebutkan dalam mana-mana kesusasteraan sejarah.

    Walau bagaimanapun, penemuan yang paling penting adalah tangga yang tersembunyi di sebalik dinding menuju ke bumbung kompleks kecil gerbang itu.

    Selepas berakhirnya peperangan, usaha-usaha pemulihan telah dimulakan di tapak-tapak kuno yang terjejas di Aleppo. – Xinhua
    Peperangan teleh menghancurkan rumah-rumah dan masyarakat di Syria, namun di sebalik kemusnahan itu beberapa ‘rahsia-rahsia lama’ berjaya dibongkar. – Xinhua

    Ala Sayyed, seorang penyelidik sejarah dan anggota aktif bagi ‘Rakan-rakan Bab al-Nasr’ memberitahu Xinhua bahawa penemuan mereka itu akan menjadi penemuan tambahan dalam buku-buku sejarah.

    “Semasa proses pemulihan, tangga itu telah ditutupi oleh dinding ini. Namun, apabila kesan retak itu mula muncul, rapuh dan tanggal daripada tempat asalnya, kami telah menemui lubang yang sudah ditutupi selama ratusan tahun dan membawa kepada penemuan tangga bersejarah dari struktur bangunan asal yang telah disembunyikan sepenuhnya pada sekitar 800 tahun lalu,” katanya.

    Tangga ini telah membawa kepada bumbung menara pertahanan Gerbang al-Nasr, yang tidak dapat diakses dari luar bangunan berhampiran.

    Dia berkata penemuan itu membuatkannya sangat gembira dan usaha mereka selama ini akhirnya berhasil.

    Diberi panggilan sebagai ‘gerbang rahsia’, Sayyed berkata, dia percaya bahawa lebih banyak kerja-kerja yang perlu dilakukan di dalam bangunan kuno itu agar mendapat penemuan terbaru.

    Dia menyatakan bahawa beberapa penemuan yang mereka temukan belum dapat dijelaskan, seperti skrip lama di salah satu dinding di dalam pintu gerbang tersebut.

    Dia berkata bahawa nama-nama itu dipercayai ditulis pada era zaman Yunani, tetapi kisah disebaliknya masih belum diketahui.

    Di dinding yang sama, terdapat beberapa lubang dalam saiz jari tangan telah ditemui apabila beberapa lapisan tambahan berjaya dialihkan.

    Sayyed berkata proses pemulihan membolehkan mereka menemui tangga tersembunyi dan barang-barang ‘misteri’ lainnya yang berada di sekitar kawasan pintu masuk itu.

    “Malah, jika ia bukan tentang keadaan sukar yang Aleppo telah lalui dan kerosakan yang berlaku pada gerbang purba serta proses pembaikpulihan tersebut, kami mungkin tidak berpeluang untuk mengetahui penemuan ini,” katanya. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda