Penentang Chechen ditembak mati

VIENNA, 6 JULAI – Polis Austria telah menahan dua warga Rusia dari Chechnya berhubung insiden menembak seorang penentang Chechen, kata pegawai semalam, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan pengkritik kerajaan Chechen yang tinggal dalam buangan.

Pencari suaka berusia 43 tahun itu, pengkritik kerajaan Republik Chechen, ditemui mati dengan luka tembakan berhampiran ibu negara Vienna pada Sabtu.

Polis memberkas seorang warga Rusia berusia 47 tahun dari Chechnya di bandar Linz, kira-kira 200 kilometer dari Vienna, sejurus selepas menemui mayat tersebut.

Seorang warga Rusia kedua, 37, juga dari Chechnya yang tinggal di Austria, ditahan semalam untuk siasatan dalam pembunuhan itu.

Polis dan pendakwa berkata jenayah itu masih disiasat dan masih terlalu awal untuk memberi komen mengenai motif pembunuhan.

Penentang yang terbunuh, dikenal pasti oleh media Rusia sebagai Mamikhan Umarov kini menggunakan nama Martin Beck, telah memberikan keterangan dalam kes pembunuhan pada 2017 di Ukraine, beritahu kementerian dalam negeri Ukraine kepada AFP.

Dalam kes itu, satu serangan senjata berhampiran Kiev, seorang tentera sukarelawan, yang dituduh berkomplot membunuh Presiden Rusia Vladimir Putin, cedera dan isterinya dibunuh. – AFP

Gambar menunjukkan kawasan di mana seorang lelaki ditembak mati di Gerasdorf, Austria pada 5 Julai 2020. – AP