Penerbangan awam pertama mendarat di Jalalabad

KABUL, 22 NOV – Selepas 20 tahun dihentikan, penerbangan awam pertama mendarat di lapangan terbang di bandar Jalalabad di wilayah Nangarhar, timur Afghanistan, lapor Sputnik memetik pengumuman pejabat gabenor pada Ahad.

Pada Sabtu, pihak berkuasa wilayah memaklumkan lapangan terbang di Jalalabad bersedia untuk menerima penerbangan domestik dan antarabangsa, selepas semua masalah teknikal dan keselamatan diselesaikan.

“Sebuah pesawat membawa bantuan kemanusiaan tiba dari Iran. Ia penerbangan awam pertama ke lapangan terbang Nangarhar selepas terhenti selama 20 tahun,” menurut kenyataan itu.

Pada Isnin, wakil khas Iran untuk Afghanistan tiba di Kabul bagi mengadakan pertemuan dengan pegawai kerajaan sementara Afghanistan yang dilantik Taliban. Kedua-dua pihak bersetuju mengukuhkan kerjasama dalam beberapa perkara, termasuk bantuan kemanusiaan.

Taliban menguasai Kabul pada pertengahan Ogos, menyebabkan kerajaan yang disokong Amerika Syarikat berundur sekali gus mengambil alih seluruh Afghanistan pada awal September.

Kumpulan itu turut mengisytiharkan tamatnya perang selama beberapa dekad dan menubuhkan kabinet baharu dipimpin Mohammad Hasan Akhund, bekas menteri luar di bawah pemerintahan Taliban yang pertama. – Bernama