Oleh Imelda Groves HA & James Kon
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Seramai 128 orang pelancong menaiki penerbangan carter pertama dari Korea telah dialu-alukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dengan pukulan hadrah dan hadiah daripada Pelancongan Brunei dan Penerbangan Diraja Brunei (RB), hari ini
Kini, Korea dihubungkan dengan Brunei menerusi penerbangan mingguan setiap Khamis dan Ahad, yang merupakan hasil daripada kerjasama RB dan Shining Tours.
Presiden Sinar Tour Co. Ltd. James Park yang turut berada di dewan ketibaan lapangan terbang berkata, lapan tahun lalu, sebuah syarikat cuba menjalankan penerbangan carter ke Brunei, yang hanya bertahan selama sebulan.
“Syarikat kami, bagaimanapun, berada di sini untuk jangka masa panjang. Kami mempunyai dua penerbangan carter seminggu ke Brunei dan sebaliknya, yang telah bermula pada 29 Disember.”
Beliau menganggap kejayaan penerbangan-penerbangan itu adalah disebabkan kerjasama bersama dengan Pelancongan Brunei, RB dan The Empire Hotel & Country Club.


Dalam pada itu, RB dalam kenyataannya memberitahu bahawa pada 21 Januari lalu, penerbangan dari Xi’an, China pula mendarat di Brunei membawa 144 orang pelancong yang pertama kali menjejakkan kaki ke negara ini di mana mereka ingin merasakan pengalaman kehidupan di Brunei.
Penerbangan mingguan itu beroperasi pada setiap Sabtu mengikut musim dan terjalin melalui kerjasama di antara RB dan Beijing Longway International Travel Services.
Pelancongan Brunei telah mengumumkan objektifnya untuk menggandakan jumlah ketibaan pelancong melalui udara daripada 218,000 pada tahun 2015 kepada 450,000 menjelang 2020.
Menurut statistik yang diberikan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, lima negara teratas sumber ketibaan pelancong ke Negara Brunei Darussalam ialah Malaysia, China, Indonesia, Filipina dan Singapura.
Pengurus Besar Eksekutif Jualan dan Pemasaran di RB, Brett McDougall dipetik sebagai berkata, “Penerbangan carter adalah salah satu cara kami menyokong objektif Pelancongan Brunei. Selalunya, carter boleh membawa kepada tambahan laluan udara baru kepada rangkaian penerbangan dan kami gembira untuk mengalu-alukan pengunjung-pengunjung baru ini ke Brunei.”