Penerbangan ke Wuhan dihentikan

KOTA KINABALU, 26 JAN – Semua penerbangannya dari Sabah ke Wuhan, China telah dihentikan berikutan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) yang melanda wilayah berkenaan, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew.

Beliau berkata setiap minggu terdapat 14 penerbangan ke Wuhan, China dan penerbangan itu akan beroperasi semula apabila wabak Koronavirus dapat diselesaikan. “Hanya penerbangan ke Wuhan dihentikan dan penerbangan ke wilayah lain di China masih berjalan seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri Sabah, di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib. Ditanya sama ada wabak berkenaan menjejaskan kehadiran pengunjung atau pelancong ke Sabah, Christina berkata tidak dinafikan bahawa wabak berkenaan menjejaskan kehadiran pelancong khususnya daripada China.

“Untuk tahun ini kita belum meletakkan sasaran kehadiran pelancong kerana kita telah menghadapi cabaran bermula awal tahun apabila adanya wabak koronavirus…dan saya akan mengadakan perbincangan dengan Lembaga Pelancongan Sabah mengenai perkara itu sebelum ia diumumkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah telah melaksanakan beberapa langkah pencegahan untuk mengelakkan penularan wabak koronavirus, khususnya pemeriksaan kesihatan kepada individu yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). – Bernama