Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penerbangan ketiga berlepas ke Tanah Suci

    Oleh Yusrin Junaidi

    Gambar oleh Rahwani Zahari & Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Penerbangan ketiga yang membawa seramai 254 bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam dengan pesawat Penerbangan Diraja Brunei BI4205 telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) pada pukul 8 pagi tadi.

    Bakal jemaah haji penerbangan ketiga ini mengikuti pakej Syarikat Darussalam Holdings Sdn Bhd, membawa sejumlah 254 orang, iaitu 115 jemaah lelaki dan 136 jemaah perempuan berserta tiga orang pegawai dari Maktab Urusan Haji Perubatan.

    Hadir di LTAB bagi mengucapkan selamat belayar ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman serta datin dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Jaafar serta datin.

    Juga hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Menteri Kewangan, Dato Seri Paduka Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Timbalan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei selaku wakil Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali dan isteri; wakil Kedutaan Besar Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, Saad Salih M. Baeshen; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof dan isteri; Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman; Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad dan isteri; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Serudin bin Haji Timbang dan isteri; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif; pengarah-pengarah, penolong-penolong pengarah; pegawai-pegawai kanan KHEU dan pengarah urusan syarikat pengendali pakej haji.

    Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman bersama Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Jaafar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Menteri Kewangan, Dato Seri Paduka Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan wakil dari Kedutaan Diraja Arab Saudi di Negara Brunei Darussalam, Saad Salih M. Baeshen semasa bacaan Doa Selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk penerbangan bakal jemaah haji yang akan berlepas ke Tanah Suci, kelmarin.
    Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham ketika mengucapkan selamat belayar kepada bakal jemaah haji lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
    Isteri Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Asbi dan isteri Menteri Kesihatan, Datin Dr Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee ketika mengucapkan selamat belayar bakal jemaah haji wanita sebelum mereka berlepas ke Tanah Suci.

    Bagi memberkati majlis, Doa Selamat telah dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz, manakala itu, lafaz azan dilaungkan oleh Mudim Haji Amran bin Haji Mohd Salleh.

    Dalam pada itu, Media Permata telah berkesempatan menemu bual seorang bakal jemaah, Awang Ariffin bin Haji Garip yang berpeluang menunaikan haji bersama isteri beliau.

    Beliau menyatakan rasa bersyukur terpilih menunaikan haji pada tahun ini selepas menunggu selama setahun.

    Jelasnya, segala pengurusan yang dikendalikan oleh Darussalam Holdings Sdn Bhd telah berjalan dengan lancar dan berharap kelancaran ini akan berterusan sehingga mereka pulang ke tanah air nanti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda