Penerbangan khas bawa pulang 44 warga Thailand

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Seramai 44 orang warga Thailand berlepas meninggalkan negara ini melalui penerbangan khas B1513 Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), kelmarin.

Penerbangan yang berlepas pukul 10:55 pagi itu adalah kerjasama Kedutaan Diraja
Thailand di Negara Brunei Darussalam dengan RB yang membawa pulang warga Thailand terdiri daripada para pelajar, pekerja dan orang persendirian di negara ini.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul.

Sebelum menaiki pesawat, para penumpang juga menerima agihan beg penjagaan kesihatan yang mengandungi barangan keperluan perjalanan seperti penutup mulut dan hidung, pensanitasi tangan dan juga bungkusan makan tengah hari disampaikan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand.

Puan Yang Terutama turut melahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia khususnya Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Penerbangan Awam serta RB atas bantuan dan kerjasama menguruskan penerbangan khas itu.

Menurutnya lagi, empat pelajar Thailand yang menuntut di negara ini adalah antara yang menyertai penerbangan pulang itu, terdiri daripada seorang mahasiswa Universiti Brunei Darussalam, dua penuntut Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan seorang pelajar sekolah.

Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul semasa menyampaikan beg penjagaan kesihatan kepada salah seorang penumpang.