Penerbangan khas bawa balik warga Australia dari Bali

DENPASAR, INDONESIA, 18 OGOS – Lebih 100 warga Australia telah meninggalkan pulau pelancongan Bali, Indonesia hari ini dengan menaiki pesawat penerbangan khas kendalian kerajaan Australia.

Kebanyakan warga Australia telah terkandas di Bali kerana penerbangan yang menyambungkan Indonesia ke Australia adalah terhad sejak penularan COVID-19 di Indonesia.

“Penerbangan Qantas digunakan untuk membawa balik warga Australia ke Darwin,” kata pengurus perhubungan awam lapangan terbang, Taufan Yudhistira hari ini.

Pesawat itu terbang tanpa pe-numpang dari Sydney ke Denpasar, bandar Bali dan berlepas ke Darwin pada petang ini bersama 186 orang di dalamnya, termasuk anak damit dan kru, kata Yudhistira.

Ian Young, seorang penumpang berkata dia akan kembali ke Bali selepas menjenguk keluarganya di Melbourne.

“Saya sudah lama tidak bertemu keluarga saya. Saya hanya ingin melihat keluarga saya dan pulang semula ke Bali secepat mungkin,” katanya.

Pejabat Konsulat Australia di Bali berkata kerajaan Australia bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mengaturkan penerbangan bagi warga mereka yang pesawat mereka telah dibatalkan atau pilihan perjalanan transit mereka yang sudah tidak lagi dibenarkan.

Ia berkata Australia terus mencari cara untuk menyokong penduduk Australia yang ingin pulang ke negara asal. – AP