Penerbangan khas kedua ke Thailand bawa 60 penumpang

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan Kedutaan Diraja Thailand di Negara Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Seramai 60 orang yang terdiri daripada 43 warga Thailand dan 17 bukan warga Thailand telah berlepas meninggalkan negara ini melalui penerbangan khas B1519 Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), hari ini.

Penerbangan yang berlepas pada pukul 10:55 pagi dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Suvarnabhumi kira-kira 12:40 tengah hari waktu tempatan itu merupakan kerjasama Kedutaan Diraja Thailand di Negara Brunei Darussalam dengan RB yang membawa pulang warga Thailand terdiri daripada para pelajar, pekerja dan orang persendirian di negara ini di samping warga bukan Thailand yang diberikan kebenaran khas untuk memasuki negara berkenaan.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul.

Sebelum menaiki pesawat, para penumpang menerima agihan beg penjagaan kesihatan yang mengandungi barangan keperluan perjalanan seperti penutup mulut dan hidung, pensanitasi tangan dan juga bungkusan makan tengah hari yang disampaikan oleh PYT Wanthanee Viputwongsakul.

Puan Yang Terutama turut melahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Penerbangan Awam serta RB atas bantuan dan kerjasama menguruskan penerbangan khas berkenaan.

Ia merupakan penerbangan khas kedua dijayakan yang mana sebelum ini, pada 20 Jun lalu, seramai 44 orang warga Thailand telah berjaya dihantar dan selamat sampai di Thailand.

PYT Wanthanee Viputwongsakul menyampaikan beg penjagaan kesihatan kepada salah seorang penumpang.
Para penumpang berbaris untuk mendaftar masuk bagi penerbangan khas kedua ke Thailand, kelmarin.