Penerbangan komersial Iraq dibuka semula

BAGHDAD, 23 JULAI – Iraq membuka semula penerbangan komersial hari ini selepas sekatan empat bulan dikenakan untuk membendung penularan koronavirus, yang menjejaskan teruk ekonomi negara itu.

Kapal terbang mula beroperasi semula pagi ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad menuju ke Lubnan dan Turki, kata wartawan AFP.

Sebelum menaiki kapal terbang, penumpang diwajibkan menunjuk keputusan ujian COVID-19 negatif kepada kakitangan lapangan terbang yang memakai penutup mulut dan sarung tangan. Lapangan terbang di bandar Najaf dan Basra juga dibuka semula hari ini, namun bandar Arbil dan Sulaimaniyah, di utara rantau Kurdish, berkata mereka akan dibuka semula pada 1 Ogos.

Pihak berkuasa Iraq membatalkan sekatan lain pada awal bulan ini, membenarkan gedung membeli-belah dan kedai dibuka semula dan menunda perintah berkurung sehingga 9:30 malam.

Restoran dan kedai kopi masih ditutup kepada pelanggan tetapi membenarkan pesanan bawa pulang atau penghantaran.

Sekatan penuh akan dikenakan semula pada akhir Julai untuk cuti Hari Raya Aidiladha sebelum dibatalkan sepenuhnya sekali lagi.

Beberapa pekerja kesihatan bimbang pengembalian kepada kehidupan normal dilakukan terlalu awal tatkala jumlah kes COVID-19 masih meningkat, mencecah hampir 100,000 dengan lebih 4,000 kematian. – AFP

Penumpang memakai penutup mulut dan hidung menunggu untuk penerbangan di balai pelepasan lapangan terbang antarabangsa Baghdad selepas dibuka semula kelmarin. – AFP