Penerbangan MAS ke Bangalore patah balik

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Penerbangan MH104 Malaysia Airlines yang berlepas dari Kuala Lumpur untuk ke Bangalore pada pagi ini terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disebabkan isu keselamatan penumpang.

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan, berkata kapal terbang itu mengalami masalah teknikal tetapi berjaya mendarat dengan selamat pada pukul 2 petang.

“Semua penumpang dan anak kapal diarahkan turun dan penerbangan MH104 disambung semula melalui sebuah pesawat lain yang berlepas pada 4:15 petang hari ini dan dijangka tiba di Bangalore pada 5:30 petang.

“Keselamatan adalah keutamaan nombor satu Malaysia Airlines pada setiap masa. Malaysia Airlines amat kesal dengan sebarang kesulitan,” katanya.

Penerbangan itu berlepas dari KLIA pada pukul 9:45 pagi hari ini dan sepatutnya sampai ke Bangalore pada 1.45 petang (waktu tempatan).

Dilaporkan bahawa terdapat 60 rakyat Malaysia dalam penerbangan tersebut, termasuk delegasi dari PKR, DAP dan MIC yang akan menghadiri persidangan Pravasi Bharatiya Divas (Bukan Pemastautin India) di Bangalore.

Laporan berita juga mengatakan antara mereka yang membuat perjalanan di dalam penerbangan itu termasuklah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan dan ADUN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran. – Bernama