Penerbangan pemindahan terbesar berlepas dari Kabul ke Qatar

MOSCOW, 18 OKT – Penerbangan pemindahan ke-9 dari Afghanistan, kelmarin, membawa lebih 350 orang keluar dari Kabul, lapor Sputnik memetik seorang pegawai kanan kerajaan Qatar.

Pesawat menuju ke Doha itu, antara penerbangan yang membawa penumpang paling ramai, termasuk tenaga pengajar dan penuntut dari Universiti Amerika Afghanistan.

Menurut pegawai itu, angka sebenar penumpang warga Amerika masih belum jelas. Selain itu pesawat berkenaan turut membawa warga Afghanistan, Belanda, Denmark dan Australia. Mereka yang dipindahkan itu akan tinggal sementara di Doha, Qatar sebelum berlepas ke destinasi masing-masing.

Awal bulan ini Media Amerika Syarikat (AS) melaporkan hasrat AS untuk meneruskan penerbangan pemindahan dari Afghanistan menjelang akhir tahun ini. – Bernama