Penerbangan pertama dari Ipoh sejak PKP

IPOH, 7 JUN – Tiga puluh dua penumpang terdiri daripada rakyat tempatan serta warganegara dan penduduk tetap Singapura, hari ini berlepas ke republik itu dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LSTAS) di sini, penerbangan pertama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Kesemua penumpang berlepas menggunakan pesawat milik syarikat penerbangan tambang murah Singapura, FlyScoot TR481 pada pukul 1.10 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, hanya satu penerbangan berlepas dari LTSAS pada hari ini.

“Setakat ini hanya terdapat satu penerbangan ke negara itu dan kerajaan negeri sudah bersiap sedia termasuk menyediakan pusat kuarantin, jika ada penerbangan yang masuk ke Perak,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata, penumpang penerbangan tersebut terdiri daripada lapan warga Singapura termasuk seorang kanak-kanak, 19 penduduk tetap negara itu dan lima pelajar Malaysia, yang menuntut di negara jiran berkenaan.

Beliau berkata, kesemua pelajar itu dibenarkan kembali ke Singapura setelah mendapat Kelulusan Dalam Prinsip (IPA), serta kebenaran Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), serta Kementerian Pendidikan Singapura. – Bernama