BAITULMAQDIS, 22 DIS – Penerbangan komersial pertama di antara Israel dan Maghribi berlepas dari Tel Aviv hari ini, dalam perjalanan simbolik selepas negara berkenaan mencapai perjanjian untuk memulihkan hubungan.
Penerbangan El Al yang membawa menantu dan penasihat Presiden Donald Trump, Jared Kushner dan Penasihat Keselamatan Negara Israel, Meir Ben Shabbat menuju ke Rabat, di mana pegawai Maghribi dan Israel dijangka menandatangani beberapa siri perjanjian.
Lawatan bertujuan memaparkan pencapaian pentadbiran Trump dalam diplomasi Timur Tengah, beberapa minggu sebelum Trump diganti oleh Presiden dipilih Joe Biden di Rumah Putih.
Maghribi menjadi negara Arab ketiga pada tahun ini, selepas Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain, untuk memulihkan hubungan dengan Israel di bawah perjanjian yang dibroker AS, sementara Sudan telah berjanji akan menyusul.
Bercakap di lapangan terbang Israel Ben Gurion sebelum berlepas, Kushner menekankan bahawa perjanjian UAE-Israel telah pun mewujudkan peluang komersial untuk kedua-dua negara.
“Harapan saya adalah penerbangan hari ini ke Maghribi akan mewujudkan momentum yang sama di antara Maghribi dan Israel,” kata beliau. – AFP































