Penerbangan pertama Qatar ke Arab Saudi berlepas

DOHA, 11 JAN – Penerbangan Qatar-Arab Saudi disambung semula hari ini ketika negara-negara jirannya memulihkan hubungan di bawah persetujuan bersejarah yang menamatkan permusuhan tiga tahun dan membenarkan keluarga-keluarga bersatu semula.

Arab Saudi dan sekutu-kutunya Emirah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir pada Jun 2017 mengenakan sekatan ke atas Qatar termasuk menutup ruang udara ke negara itu berhubung dakwaan ia menyokong kumpulan Islamis dan terlalu rapat dengan Iran.
Qatar tetap menafikan dakwaan tersebut.

Keempat-empatnya bersetuju membatalkan sekatan pada Majlis Kerjasama Teluk minggu lalu di bandar Al-Ula, Saudi selepas aktiviti diplomatik tergesa-gesa pentadbiran Presiden AS, Donald Trump sebelum penggal akhirnya.

Penerbangan komersial pertama antara Qatar dan Arab Saudi dalam masa tiga setengah tahun itu, perkhidmatan Qatar Airways ke Riyadh, berlepas dari lapangan terbang Doha sekitar 11 pagi waktu tempatan dan dijangka mendarat pada 12:10 tengah hari.

Kakitangan lapangan terbang merakamkan pesawat itu ditunda di landasan menjelang perlepasannya, menurut koresponden AFP di lokasi.

Sementara itu pesawat Saudia Airlines juga akan terbang bermula Isnin dari Riyadh ke Doha sekitar jam 1:40 petang menurut jadual onlinenya dengan perkhidmatan dari Jeddah dijangka bermula pada tarikh yang ditentukan kemudian. – AFP

Wartawan berkumpul dekat pesawat Qatar Airways di tarmak Lapangan Antarabangsa Hamad dekat bandar Doha, Qatar pada 11 Januari. – AFP