TEL AVIV, 17 APRIL – Penerbangan langsung pertama di antara bandar pantai Israel Tel Aviv dan pusat peranginan Sharm el-Sheikh di Laut Merah, Mesir berlepas hari ini, kata syarikat penerbangan Israel El-Al.
Penerbangan 5193, dikendalikan oleh subsidiari El-Al Sun d’Or, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion pada 0715 GMT, menurut kenyataan syarikat penerbangan.
Penerbangan langsung telah lama beroperasi di antara Tel Aviv dan Kaherah, sejak Mesir pada 1979 menjadi negara Arab pertama yang menandatangani perjanjian perdamaian dengan Israel.
Kedua-dua negara telah memulihkan hubungan mereka baru-baru ini.
Perdana Menteri Israel Naftali Bennett telah melawat Mesir dua kali selepas menjadi perdana menteri pada Jun, dan bertemu dengan Presiden Abdel Fattah al-Sisi pada September.
Pada awal Oktober, sebuah kapal terbang dengan jenama logo syarikat penerbangan Mesir Egyptair mendarat di Israel buat kali pertamanya, penerbangan yang disifatkan sebagai ‘bersejarah’ oleh Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Israel.
Sebelum itu, penerbangan Mesir ke Israel telah dikendalikan oleh subsidiari Egyptair, Air Sinai, ditubuhkan secara eksklusif untuk laluan Israel dan tanpa memaparkan bendera Mesir di bahagian luar kapal terbangnya.
Sehingga 2020, Mesir dan Jordan merupakan satu-satunya kerajaan Arab yang telah memulihkan hubungan dengan Israel.- AFP